Tidak mahu mendesak, Ayu mahu menggunakan masa secukupnya untuk membuat perancangan. Dia tidak mahu majlis yang berlangsung secara kelam-kabut dan ingin menunggu masa lapang Zaquan supaya semuanya dapat berjalan lancar serta dalam keadaan relaks. Baru-baru ini, keluarga kedua-dua pihak bagaimanapun sudah mengesahkan bahawa pasangan itu akan bernikah pada bulan Januari depan. “Kami kedua-dua pihak keluarga memang merestui hubungan mereka. Jika ada jodoh, majlis pernikahan akan berlangsung awal tahun depan.
Mula meminati Zaquan selepas melihat papan iklan di tepi jalan raya, Ayu sebelum itu pernah menyaksikan perlawanan kekasihnya di Stadium Bukit Jalil bersama kakaknya sebagai seorang peminat. Namun, mereka hanya berkenalan selepas kawan Ayu yang juga merupakan pemain bola memperkenalkan Zaquan. Akui dirinya amat cemas pada pertemuan pertama, Zaquan bagaimanapun menjadi pihak yang mula menghantar SMS. “Kami hanya berhubungan menerusi telefon selepas pertemuan itu. Macam kawan biasa. Apabila Zaquan mengajak saya berkawan secara serius, saya sendiri tidak pasti. Tapi tidak sangka hubungan kami boleh sampai tahap ini dan sejujurnya saya amat bahagia,” senyum Ayu yang baru sahaja menghabiskan rakaman drama Nujum Siber. Dilamar tiga bulan lalu, Zaquan sebenarnya sudah berbicara mengenai pertunangan tersebut sejak tahun lalu lagi. Namun, lamaran itu hanya berlaku menerusi satu panggilan telefon. Walaupun begitu, sifat dan perwatakan Zaquan telah membuatkan Ayu bersetuju dengan lamarannya.
“Dia seorang yang romantik dan ramah. Malah dia seorang yang berbudi bahasa terutama di hadapan orang tua. Disebabkan itulah ibu saya amat menyukai dia. Mungkin bagi orang yang tidak mengenali dia, wajahnya kelihatan sombong. Tapi sebenarnya dia seorang yang sopan,” tambahnya lagi. Berumur 26 tahun, Ayu seperti yang diketahui umum lebih tua daripada Zaquan, 23. Ditambah dengan populariti Zaquan, tidakkah Ayu risau kekasihnya itu akan didampingi ramai wanita lain? “Tidak susah dan senang sebenarnya untuk ‘mengawal’ dia. Tapi apa yang penting adalah kepercayaan. Saya amat mempercayai dia dan kalau tidak ada kepercayaan itu, kita sendiri yang susah. Kematangan Zaquan juga mengukuhkan lagi hubungan kami.”
Menyimpan hasrat untuk berkahwin pada usia 21 tahun sejak kecil lagi, harapan Ayu itu tidak kesampaian. Ini kerana Ayu bukan seorang wanita yang mementingkan karier tetapi suka memiliki keluarga sendiri. - kosmo
No comments:
Post a Comment
Thanks For Your Sincere!!