Pages

Sunday, March 27, 2011

Juara Akademi Al Quran AQ 5 Milik Shahrianshah Apin

Peserta Mohd Shahrianshah Apin, 25, muncul juara pertandingan akhir program realiti terbitan TV9, Akademi al-Quran (AQ) musim kelima yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Sabtu. Kemenangan itu membolehkan beliau memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM30,000, Al-Quran bertinta emas berharga RM35,000 sumbangan Yayasan Restu, pengajian ke Universiti Antarabangsa Al-Madinah, pakej haji oleh Gemilang Travel Sdn Bhd, pakej umrah oleh Al-Fajr Travel & Tours Sdn Bhd dan lawatan VIP ke Syria oleh Hiraq Marketing.

Selain itu, Syahrianshah turut menerima Songket oleh Wan Manang, barangan perabut jati bernilai RM20,000 dari Jatimas dan trofi tajaan TH Global. Beliau yang ditemui di sidang media menzahirkan rasa gembira dan terkejut atas kemenangan yang tidak diduga itu. "Saya rasa gementar sehinggakan saya tercicir satu ayat ketika membaca surah An-Nur, ayat 32 hingga 36. "Biasalah, bila di atas pentas macam-macam perkara boleh berlaku. "Sebab itu, bila diumumkan sebagai juara, saya terkejut. Bagaimanapun, saya bersyukur atas rezeki kemenangan ini," katanya. Tambah Shahrianshah, dengan kemenangan yang dimiliki, dia ingin melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dalam ilmu Al-Quran.

Sementara itu, tiga peserta lain, Mohamad Husaini Makmur, 19, Muhamad Nasir Mohamad Salleh, 21, dan Suhailah Zulkifly, 22, masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM2,000, pengajian ke University Al-Madinah dan pakej haji sumbangan Gemilang Travel Sdn Bhd. Ketiga-tiga peserta tersebut turut menerima hadiah pakej umrah sumbangan Al-Fajr Travel & Tours Sdn Bhd, songket daripada Wan Manang dan trofi tajaan TH Global. Dalam pada itu, hadiah pengajian di Universiti Al-Madinah akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak pengurusan universiti tersebut.

Tiga juri yang bertanggungjawab memberi markah kepada empat peserta tersebut adalah Ustaz Nazeri Abdullah (qiraat), Ustaz Radhi Kamarul Hailan (tarannum) dan Ustaz Nik Azizan Nik Jaafar yang menjaga tajwid dan fasohah. Pada malam itu, penyanyi nasyid Indonesia terkenal, Haddad Alwi turut menghiburkan penonton menerusi lagu Rinduku Muhammad.

Sementara itu, para peserta turut diberikan kejutan oleh pihak TV9 dengan melancong ke Banda Aceh baru-baru ini. Mereka diberi tugasan untuk menemubual mangsa-mangsa tsunami yang melanda pada bandar tersebut pada tahun 2004. mstar

No comments:

Post a Comment

Thanks For Your Sincere!!