Pages

Thursday, July 14, 2011

Arsenal 4-0 Malaysia Hasil Jaringan Ramsey, Walcott, Vela Dan Rosicky

Skuad bola sepak kebangsaan gagal mencipta kejutan apabila tewas 0-4 kepada kelab Liga Perdana England, Arsenal pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Di hadapan 65,000 penonton yang majoritinya berjersi merah sambil dicelah-celah mereka terselit penyokong berjersi kuning, empat jaringan skuad The Gunners itu dijaringkan Aaron Ramsey, Theo Walcott, Carlos Vela dan Tomas Rosicky.

Tiada kelibat Robin van Persie, Samir Nasri, Bacary Sagna dan Andrei Arshavin dalam kesebelasan Arsenal, sebaliknya pengurus The Gunners, Arsene Wenger membariskan Ryo Miyaichi, Carl Jenkinson, Thomas Vermaelen dan Marouane Chamakh.

Jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal pula meletakkan penjaga gol ketiga, Nasril Nourdin dalam kesebelasan utama dan hanya memasukkan Khairul Fahmi Che Mat selepas rehat. Menerusi serangan pertama ke arah pintu gol Malaysia pada minit keempat, Arsenal berjaya memperoleh sepakan penalti setelah Aidil Zafuan Radzak menjatuhkan Jack Wilshere.

Ramsey yang mengambil sepakan penalti itu mudah menewaskan Nasril untuk gol pertama Arsenal. Malaysia hanya melakukan serangan sulung pada minit kelapan, tetapi hantaran lintang Asraruddin Putra Omar mudah ditanduk Alex Song ke arah penjaga golnya, Wojciech Szczesny.

Pada minit ke-24, stadium bergema seketika apabila sepakan percuma kapten Malaysia, Safiq Rahim dari sebelah kanan hampir memerangkap Szczesny yang terpaksa melompat untuk menepis bola ke belakang. Namun kelekaan pertahanan Malaysia dihukum pada minit ke-36 apabila hantaran lintang Wilshere berjaya disudahkan dengan lambungan kemas oleh Walcott untuk kedudukan 2-0.

Bermula babak kedua, Wenger melakukan lapan pertukaran sementara Rajagobal hanya memasukkan Khairul Fahmi dan Abdul Hadi Yahaya menggantikan Nasril dan Ahmad Fakri Saarani. Kehebatan Arsenal ternyata sukar dibendung apabila mereka berjaya memperoleh gol ketiga hasil penyudah kemas penyerang gantian, Vela pada minit ke-58.

Pada minit ke-67, Wenger mula melakukan empat pertukaran serentak memasukkan Van Persie, Nasri, Sagna dan Arshavin. Arsenal melengkapkan malam gemilang mereka dengan gol keempat menerusi Rosicky pada minit ke- 90. kosmo

No comments:

Post a Comment

Thanks For Your Sincere!!