Kelantan melabuhkan tirai Liga Malaysia (Liga-M) 2012 dengan penuh bergaya apabila mengungguli gelaran trebel pada musim ini. Skuad The Red Warriors merangkul trofi ketiga selepas menewaskan
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 pada final Piala Malaysia di Stadium
Shah Alam malam tadi.
Kelantan membuka jaringan menerusi penyerang berbisa, Norshahrul
Idlan Talaha pada minit ke-44 tetapi ATM berjaya mengikat kedudukan
menerusi gol Rezal Zambery Yahya pada minit ke-48. Selang dua minit kemudian, Norshahrul kembali menggandakan kedudukan
tetapi penyerang import ATM, Marlon Alex James kembali menyamakan
kedudukan apabila menewaskan penjaga gol No. 1 negara, Khairul Fahmi Che
Mat pada minit ke-62.
Perancang skuad The Red Warriors, Indra Putra Mahayuddin muncul
sebagai wira pasukan apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit
ke-96, sekali gus melengkapkan koleksi trofi Liga-M dengan menjuarai
Liga Super serta Piala FA pada musim ini.
Beraksi pada separuh masa pertama di hadapan kira-kira 90,000
penyokong, Kelantan hampir berjaya untuk membuka jaringan menerusi
tandukan penyerang pinjaman, Muhammad Afiq Azmi yang bijak memanfaatkan
hantaran pemain pertahanan kiri The Red Warriors, Mohd. Daudsu
Jamaluddin. Bagaimanapun, percubaan tersebut berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol ATM, Farizal Harun pada minit kelima.
Kelantan yang terus menggandakan asakan dalam usaha untuk mendahului
perlawanan apabila Norshahrul berjaya melepasi dua pertahanan ATM namun
tendangan lemah itu masih gagal untuk menembusi gawang pasukan yang
dikenali dengan nama jolokan The Gladiators pada minit ke-12.
Begitupun, pemain kelahiran Terengganu itu meletakkan juara Liga
Super itu di depan dengan menjaringkan gol menerusi tendangan leret yang
gagal didakap kemas oleh Farizal, sekali gus menyaksikan keputusan 1-0
kekal di babak pertama perlawanan.
Bersambung di babak kedua, ATM kembali mengatur serangan dalam misi
dalam usaha untuk mengikat keputusan perlawanan namun kehebatan penjaga
gol Kelantan, Khairul Fahmi berjaya mengagalkan setiap percubaan The
Gladiators.
ATM akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Rezal Zambery. Begitupun, jaringan bekas pemain Negeri Sembilan itu sekadar bertahan
seminit apabila Norshahrul kembali meletakkan The Red Warriors di depan
dengan menewaskan Farizal untuk kali kedua menerusi rembatan leret yang
kencang.
The Gladiators kembali mengasak benteng pertahanan Kelantan daan
hasilnya, skuad kendalian B. Sathianathan menyamakan kedudukan menerusi
jaringan penyerang import, Marlon.
Tersentak dengan jaringan penyamaan itu, Kelantan kembali mempamerkan
corak agresif namun benteng pertahanan ATM berjaya mengekang asakan
Norshahrul, Indra Putra dan Mohd. Badri Mohd. Radzi, sekali gus
mengheret perlawanan ke masa tambahan selepas terikat 2-2 dalam tempoh
90 minit.
Sementara itu, Anugerah Pemain Terbaik Perlawanan menjadi milik Norshahrul manakala Penjaring Terbanyak diraih Marlon. kosmo
-- The Red Warriors Demam Bola Di Mana Saja
No comments:
Post a Comment
Thanks For Your Sincere!!