Aktres popular Maya Karin menganggap kejatuhan rating rancangan Nona yang dikendalikannya selama setahun ini tidak hanya berpunca daripadanya sahaja. Kata Maya, terdapat beberapa faktor lain yang menjadi punca rancangan berbentuk majalah itu kurang menjadi pilihan penonton.
"Kejatuhan rating rancangan Nona bukan disebabkan saya seorang sahaja, banyak faktor lain yang boleh menyebabkan sesebuah rancangan itu tidak mampu untuk mempertahankan rating. "Bagi saya banyak aspek yang menjadi punca terutamanya dari segi pengisian rancangan tersebut. Sebuah rancangan yang berdurasi sejam, mereka seharusnya memikirkan isi kandungan yang mampu menarik penonton," katanya ketika ditemui di Majlis Doa Selamat Kru, di sini, Jumaat.
Tambah Maya, penonton tidak mungkin memberi perhatian dalam masa sejam hanya sekadar melihat pengacara semata-mata. Bagaimanapun, ketika ditanya tentang reputasinya terjejas akibat dari kegagalan tersebut, Maya memberitahu dia tidak mahu berfikiran negatif tentang perkara tersebut. "Ini bukan bidang utama saya, saya juga tidak mahu salahkan siapa-siapa dalam hal ini. Saya hanya mahu berfikiran positif, bagi saya semua perkara yang terjadi pasti ada hikmahnya. "Apa pun saya berterima kasih kepada pihak TV3 kerana memberi peluang kepada saya untuk mengacarakan rancangan ini selama setahun dan mengucapkan semoga berjaya kepada Nona," ujarnya yang menyambut hari lahir ke 31, Jumaat lalu.
Menurut Maya, perkara ini tidak mematahkan semangatnya untuk terus terlibat dalam bidang pengacaraan, dia juga bakal terlibat dalam sebuah program televisyen berkaitan alam sekitar. Dalam pada itu, Maya turut mengulas tentang hubungan cintanya dengan pelakon kacak, Yusri Abdul Halim yang dikatakan terjalin semula.
"
Ya, kami ada keluar bersama dan menonton wayang, tapi tidak bermakna kami bercinta. Saya dan Yusri sudah enam tahun berkawan baik, janggal rasanya untuk bercinta. "Saya selesa dengan status sekarang, sudah lama rasanya saya dalam sebuah hubungan. Kini saya sedang lalui perkara baru dalam hibup dan fokus pada diri sendiri," ujarnya sambil tersenyum.
Maya juga sedang membuat persiapan bagi pementasan kedua teater Natrah pada November depan dan menimbang beberapa tawaran filem. - mstar
No comments:
Post a Comment
Thanks For Your Sincere!!