Kluang 19 Mei - Tiga pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua tuduhan menjual kopi mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi di kedai minuman, Kluang Rail Coffee tanpa meletakkan pernyataan kewujudannya pada label pembungkusan kopi itu. Ketiga-tiga pengarah syarikat Rail Passion Sdn. Bhd. (Rail Passion) tersebut iaitu Lim Jit Chiang, 37, dan abangnya, Lim Jit Tong, 42, serta sepupu mereka, Lim Jit Chen, 58, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan.
Syarikat pengilang Cheng Hiong Coffee Powder Trading pula menghadapi tuduhan menyedia dan membungkus kopi campuran dalam bungkusan yang belum dibuka dan tidak berlabel untuk jualan kepada syarikat Rail Passion. Jit Chiang, Jit Tong dan Jit Chen didakwa menjual serbuk kopi dalam bungkusan yang mengandungi DNA babi antara pukul 3 petang hingga 4 petang di premis tersebut di Jalan Tasik di sini pada 25 Mac lalu.
Mereka didakwa menjual serbuk kopi dalam bungkusan belum dibuka kepada pegawai Jabatan Kesihatan, Amezatul Aida Mohd. Daim bagi tujuan analisis dan keputusan ujian Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya menunjukkan terdapat DNA babi dalam kopi itu. Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa menjual 20 peket kopi uncang dalam bungkusan belum dibuka yang mengandungi DNA babi kepada Amezatul Aida bagi tujuan serupa pada masa, tarikh dan tempat yang sama. Keputusan analisis di Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya turut mendapati wujud DNA babi dalam kopi uncang tersebut.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Peraturan 11(1)(c) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 kerana menjual makanan tanpa suatu pernyataan tentang adanya DNA babi pada label bungkusan makanan berkenaan. Setiap pertuduhan tersebut memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun jika sabit kesalahan.
Sementara itu, syarikat pengilang, Cheng Hiong Coffee Powder Trading didakwa atas pertuduhan menyedia dan membungkuskan kopi campuran dalam bungkusan yang belum dibuka dan tidak berlabel itu untuk jualan kepada syarikat Rail Passion. Syarikat tersebut didakwa melakukan kesalahan itu di Kilang Cheng Hiong Coffee Powder Trading di Jalan Mersing di sini antara pukul 10.40 pagi hingga 2 petang, 25 Mac lalu.
Dua rakan kongsi syarikat pengilang tersebut, Wong Siew Boey, 52, dan Ong Cheng Ming, 44, mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang sama dikenakan ke atas ketiga-tiga pengarah syarikat Rail Passion. Kesemua tertuduh yang diwakili peguam, S. Selvarajah manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Rasidah Abd. Radzaz. Majistret Norhabsarina Ayob menetapkan 5 Julai ini untuk sebutan semula ketiga-tiga kes berkenaan. utusan
-- (Gambar) Anak Kembar Sazzy Falak
-- (Gambar) Kaki Jasmin Hamid Melecur Teruk Kena Air Panas
-- (Gambar) Kemalangan Ngeri Myvi Dan Lori Tangki Di Km 63 Jln Kuantan Segamat Dkt Paloh Inai, 4 Maut
-- Video Datuk Siti Nurhaliza Nyanyi Bukan Cinta Biasa, Nobody, Nirmala Di ABP BH 2010 3.4.11
No comments:
Post a Comment
Thanks For Your Sincere!!