“Ayah, adik dekat belakang mati kena langgar!” Hanya itu mampu
diungkapkan kakak kanak-kanak berusia dua tahun yang maut dirempuh
kereta bapanya di kediaman mereka di Taman Kerian Parit Buntar, semalam. Lebih memilukan, kejadian tragis itu berlaku di hadapan mata bapa kanak-kanak malang itu. Ketika kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari itu,
mangsa, Mohd Adam Mohd Ali difahamkan berada di belakang kereta Toyota
untuk mengambil seliparnya manakala abangnya, Aiman Yasin Mohd Ali yang
berusia empat tahun berada dalam kereta terbabit dan cuba menghidupkan
kenderaan itu.
Bapa mangsa, Mohd Ali Hussin, 53, berkata, ketika kejadian, dia baru
tiba di rumah selepas menghantar isterinya berniaga di Alor Pongsu,
Bagan Serai dan ingin bergegas menghantar anak perempuannya ke sekolah. Menurutnya, sebaik sahaja tiba di rumahnya, dia masuk ke dalam sebentar
untuk mengambil barang sebelum terdengar bunyi bising dari luar rumah.
“Saya segera keluar dan melihat Aiman sedang bermain di tempat duduk
pemandu, manakala arwah berada di belakang kereta untuk memakai selipar.
Saya mendekati kereta dan terkejut melihat Aiman cuba menghidupkan
enjin kereta. “Saya cuba menahan tindakannya itu, namun dia terus menghidupkan enjin
dan secara tiba-tiba kereta mengundur ke belakang,” katanya ketika
ditemui di tempat kejadian, semalam.
Mohd Ali berkata, dia kemudiannya terdengar jeritan yang diselangi
suara anak perempuannya mengatakan Mohd Adam meninggal dunia akibat
dilanggar. Dia segera meluru ke belakang kereta yang mengundur hingga menyentuh
dinding rumah itu dan mendapati mangsa dalam keadaan melutut sambil
memegang selipar, manakala bahagian kepalanya dihimpit belakang kereta.
“Saya melihat Mohd Adam kaku di belakang kereta dan apabila kereta dialihkan ke hadapan, arwah terus terduduk. Kepala arwah cedera dan saya segera memeriksa keadaannya serta mendapati arwah sudah tidak bernyawa. “Saya tidak sangka kereta akan mengundur dan saya percaya Aiman
memasukkan gear mengundur secara tidak sengaja ketika sedang bermain
dalam kereta,” katanya.
Mohd Ali berkata, melihat keadaan mangsa, anak keempatnya, Akmal Yasin
pada mulanya menyangka mangsa sedang ‘tidur’ dan mengangkatnya ke
bahagian hadapan rumah. Katanya, bagaimanapun sebaik sahaja mengetahui adik bongsunya itu sudah
tidak bernyawa, kanak-kanak itu terus meluru ke arah kakaknya sambil
menangis kerana dia rapat dengan arwah. “Kejadian ini amat mengejutkan kami sekeluarga kerana arwah langsung
tidak pernah menunjukkan tanda-tanda akan meninggalkan kami buat
selama-lamanya,” katanya.
Mohd Ali turut meluahkan kekesalan kerana tidak dapat memenuhi
permintaan terakhir arwah yang berulang kali mengajak mereka sekeluarga
pergi melancong. “Kami sekeluarga pasrah dengan pemergian arwah, cuma saya sedih
kejadian tragis ini berlaku di hadapan mata kami sekeluarga,” katanya. Suasana pilu turut menyelubungi lokasi kejadian apabila ibu mangsa
menangis teresak-esak tanpa henti sambil memeluk jenazah mangsa sehingga
saat mangsa ingin dibawa polis ke Hospital Parit Buntar untuk bedah
siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan
ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan mengklasifikasikannya kes
sebagai kematian mengejut.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pemuda Pas Parit Buntar, Hairul Nizam
Ishak yang turut hadir ke lokasi kejadian meminta orang ramai terutama
golongan ibu bapa supaya lebih berhati-hati mengendalikan kenderaan di
pekarangan rumah masing-masing. “Kejadian tragis wajar dijadikan iktibar kepada semua ibu bapa agar
sentiasa memantau pergerakan anak-anak kecil terutama apabila mereka
berada di luar rumah,” katanya. sinarharian
-- Budak Mati Tersepit Lif Di Perumahan Awam Desa Tun Razak (Gambar)
-- Wan Sakinah Isteri Kedua Ashraf Muslim Mengandung? (Gambar)
-- Awas Penyegar Udara Berbahaya
No comments:
Post a Comment
Thanks For Your Sincere!!