Wakil pasukan kelab Felda United FC (FUFC) dan Kedah menempah slot ke 
pusingan separuh akhir Piala Malaysia 2014 hasil keputusan agregat 
selepas berakhirnya saingan suku akhir kedua malam Jumaat.
Keputusan 3-3 yang dicatat FUFC ketika berdepan juara 32 kali Selangor 
pada aksi suku akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, 
Pahang malam JUmaat menyaksikan mereka layak dengan kemenangan agregat 
7-3.
Skuad 'The Fighters' menang selesa 4-0 ke atas Selangor pada aksi suku akhir pertama di Stadium Shah Alam pada 3 Oktober lepas. Pada aksi di Pahang itu, skuad Gergasi Merah berjaya meraih gol 
pembukaan hasil jaringan Paulo Rangel pada minit ke-30 selepas beliau 
menyambar bola yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol FUFC, Mohd 
Farizal Harun.
Edward Junior Wilson menyamakan kedudukan untuk skuad The Fighters pada 
minit ke-48 menerusi rembatan kencang namun kegembiraannya tidak 
bertahan lama apabila Andik Vermansah meledak gol kedua Selangor, empat 
minit kemudian. Rangel mencipta gol peribadi keduanya pada minit ke-62 selepas 
menyudahkan hantaran daripada Andik sebelum Edward merapatkan jurang 
jaringan, tujuh minit kemudian.
Indra Putra Mahayuddin memusnahkan harapan Selangor untuk meneruskan 'Misi 33' dengan gol ketiga pada minit ke-85. Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, pasukan Kedah melakar kemenangan 
selesa 3-0 ke atas naib juara 2013, Kelantan bagi mengesahkan slot ke 
separuh akhir dengan keputusan agregat 4-3.
Sebagai rekod, Kelantan menang 3-1 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu, 3 Okt lepas. Pada aksi malam ini, skuad 'Helang Merah' berjaya memecahkan kebuntuan 
menerusi Mohd Hanif Mat Dzahir pada minit ke-42 selepas beliau bijak 
memanfaatkan hantaran daripada Billy Mehmet Osman.
Kedah menggandakan kedudukan menerusi gol kapten pasukan, Baddrol 
Bakhtiar pada minit ke-52 hasil kelalaian benteng pertahanan lawan. Kelantan bertambah malang selepas penyerang mereka, Ahmad Fakri Saarani 
diperintahkan keluar padang pada minit ke-70 oleh pengadil, Samsudin 
Ibrahim selepas menerima kad kuning kedua.
Muhd Syafiq Ahmad mengesahkan slot separuh akhir untuk skuad Helang 
Merah kendalian Tan Cheng Hoe pada minit ke-88 selepas menerima hantaran
 Adam Griffith. Terdahulu, Stadium Darul Aman bergelap kira-kira 15 minit sebelum perlawanan bermula ekoran masalah lampu limpah.
Dua lagi perlawanan suku akhir melibatkan wakil kelab, Polis Diraja 
Malaysia dan Pahang di Stadium Shah Alam esok serta Johor Darul Ta'zim 
dan Terengganu di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 16 Oktober 
ini. mstar
-- Pernikahan Farhan AF Dan Ahmad Rashadan (Gambar)
-- Jalan Kuala Lipis Gua Musang Sesak Teruk Lori Terbabas (Gambar)
-- Polis Dihukum Buat Seks Oral Pelajar Tingkatan Tiga (Gambar)   

No comments:
Post a Comment
Thanks For Your Sincere!!