ad ld

Pages

Showing posts with label hadiah gadis melayu. Show all posts
Showing posts with label hadiah gadis melayu. Show all posts

Sunday, October 31, 2010

Rina (Gadis Melayu) Mahu Bantu Wanita Melalui Perniagaan

SHAH ALAM: Juara Gadis Melayu musim ketiga (GM3), Norazrina Mohd Salleh (Rina), 25, berjanji akan membantu golongan wanita melalui bidang perniagaan yang diusahakan. Rina berkata, sekarang ini dia sedang mengusahakan perniagaan pakaian bersama-sama keluarganya yang dibuat secara kecil-kecilan melalui dalam talian.

Gadis berasal dari Subang Jaya, Selangor ini akan menjadikan kemenangannya ini sebagai platform untuk merealisasikan cita-citanya untuk membantu keluarga dan wanita di luar sana dengan mendapatkan sokongan pihak badan bukan kerajaan (NGO).

“Alhamdulillah, saya mempunyai latar belakang perniagaan. Jadi, saya akan memberikan peluang kepada suri rumah dan remaja wanita untuk menyertai perniagaan dengan bantuan NGO. “Dengan adanya peluang seperti ini, saya juga akan menggunakannya untuk membantu keluarga,” katanya semasa sidang media selepas malam kemuncak GM3 melabuhkan tirainya pada Jumaat di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Melalui kemenangan itu juga, ia secara automatik memberikan gelaran selebriti kepada Rina. Dia yang mengakui masih solo itu tidak teragak-agak untuk menceburi bidang seni sekiranya mendapat tawaran pada suatu masa nanti. “Bidang penyiaran masih baru buat saya. Banyak lagi perkara yang saya perlu pelajari untuk fahami proses penyiaran dan sebagainya. “Jika berpeluang menjadi pengacara, saya mahu menyebarkan kebaikan kepada masyarakat seperti Majalah 3. Saya juga tidak menolak jika ditawarkan peluang sebagai pembaca berita. Semuanya bergantung kepada pihak TV9 yang lebih layak menentukan,” kata graduan Ukur Bahan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini.

Rina akui minatnya kepada aktiviti kemasyarakatan telah lama ada dalam dirinya memandangkan dia lebih banyak terdedah dengan aktiviti seperti itu di universiti dahulu. Selepas menamatkan pengajian, dia pernah bekerja sebagai juru ukur bahan. Kini, dia telah meninggalkan pekerjaan tersebut dan menumpukan kepada perniagaan keluarganya.

Antara hadiah yang dimenangi oleh Rina berupa wang tunai berjumlah RM30,000. Dia berkata hadiah tersebut akan dikongsikan dengan ahli keluarganya kerana akui datang dari keluarga yang susah. Selain itu, dia berhasrat untuk membawa ibu dan bapanya menunaikan umrah.

Pasti ramai yang ingin tahu rahsia kejayaan Rina memandangkan dia kelihatan tenang dan bersahaja ketika menjawab soalan daripada salah seorang juri iaitu angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Sheikh Shukor Al-Masrie.

“Walaupun penonton nampak saya tenang tetapi sebenarnya saya menggeletar juga ketika di atas pentas. Pada saya, mungkin secara kebetulan soalan yang ditanya itu berkaitan dengan isu semasa dan saya ada membaca tentang persidangan Asean yang merancang untuk membantu masyarakat. “Jadi, pembacaan juga sebenarnya banyak membantu saya untuk berjaya,” ujarnya yang turut terkejut dengan kemenangan itu.

Pada jangkaan Rina, Fatheen Nabila Ghazali (Fatheen), 24, yang layak mendapat tempat ketiga dalam pertandingan realiti di TV9 itu akan bergelar juara. - mstar

Saturday, October 30, 2010

Juara Gadis Melayu Musim Ke-3 Rina Salleh

Juara Gadis Melayu Musim Ke-3, Rina Salleh.

Kemenangan tersebut melayakkan beliau memenangi hadiah berjumlah:

RM160,000 iaitu wang tunai RM30,000, set mutiara bernilai RM120,000, barangan elektrik bernilai RM10,000 serta trofi.

Tahniah.

Friday, October 29, 2010

Penentuan Juara Gadis Melayu TV9

Penerbit Eksekutif Gadis Melayu, Wan Sabariah Shikh Ali, berkata peningkatan dari segi penampilan, komunikasi dan kemahiran dapat dilihat pada setiap individu biarpun ada dikalangan mereka masih di bangku sekolah disebabkan persaingan untuk membuktikan ketokohan.

“Berbanding musim sebelum ini, kita mempunyai peserta muda seawal 18 tahun manakala calon lain sudah bekerja dan masih di peringkat universiti, tetapi perkara ini tidak menjadi isu sebaliknya merangsang setiap individu bekerja lebih keras daripada segi mental serta fizikal.

“Dalam tempoh singkat mereka cepat ‘menangkap’ segala yang didedahkan, malah boleh dianggap program realiti ini sebagai proses pembelajaran untuk mereka mengenali persekitaran, masyarakat serta dunia penyiaran dengan lebih mendalam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengumumkan hadiah kemenangan untuk Gadis Melayu musim ketiga. Juara kali ini menerima ganjaran berjumlah RM160,000 iaitu wang tunai RM30,000, set mutiara bernilai RM120,000, barangan elektrik bernilai RM10,000 serta trofi. Empat penerima hadiah sagu hati menerima wang tunai RM1,000 seorang, barangan elektrik (bernilai RM7,000 untuk pemarkahan kedua tertinggi dan RM5,000 ketiga tertinggi), manakala empat calon lain bakal meraih wang tunai RM500 selain barangan elektrik bernilai RM700.

Gadis Melayu musim kali ini menyaksikan persaingan antara Afiqah Hazwani Mohd Nordin, 18, Nur Diana Zainuddin, 19, Siti Nurzakiah Abdul Aziz, 21, Nor Shamimi Ernida Mansor, 20; Siti Nur Afiqah Abdullah, 21; Norhidayah Samsudin, 21; Siti Mastura Mohamad Saleh, 24; Fatheen Nabila Ghazali, 24 dan Norazrina Mohd Salleh, 25 tahun.

Malam penentuan ini diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bakal menyaksikan kelainan apabila semua peserta beraksi dalam teater muzikal arahan Norzizi Zulkifli yang menyentuh tiga isu iaitu bencana alam di Pakistan, Gaza serta pembuangan bayi. Setiap peserta akan diuji melontarkan vokal, menari, menyanyi dan berlakon di bawah bimbingan pengarah berpengalaman.

Wan Sabariah berkata, sedari awal mereka didedahkan dengan kerja berkumpulan tetapi pemarkahan masih berdasarkan penyertaan individu malah konsep sama masih diteruskan pada ujian terakhir malam kemuncak nanti yang mewakili 20 peratus pemarkahan.

“Sebanyak 50 peratus pemarkahan diberikan untuk tugasan setiap minggu dan baki 50 peratus akan diadili lima juri profesional pada malam itu namun seperti ditegaskan, Gadis Melayu tidak hanya tertumpu kepada bakat seni, sebaliknya kecergasan dan kecerdasan calon. “Jika 20 peratus direbut menerusi pementasan, kita menampilkan segmen terpenting yang menawarkan 30 peratus markah kepada mereka yang layak untuk dinobatkan sebagai Juara Ikon Gadis Melayu iaitu menerusi sesi Soal Jawab berkaitan pengetahuan am,” katanya.

Sementara itu, bagi Afiqah Hazwani, persediaan dilakukan sejak memulakan cabaran namun untuk malam kemuncak, pembacaan mengenai isu semasa dijadikan ‘senjata’ tambahan, begitu juga dengan pesaing lain seperti Nur Diana dan Siti Nurzakiah yang menganggap semua calon mempunyai peluang sama rata. - bharian