ad ld

Pages

Showing posts with label rumah tangga. Show all posts
Showing posts with label rumah tangga. Show all posts

Monday, July 19, 2010

Bekas Isteri 'Naik Tocang' : AC Mizal Mahu Saman

Pelakon dan pengacara AC Mizal berhasrat untuk menyaman bekas isterinya Shafnie Zainudin kerana kecewa dengan sikap wanita itu yang dianggapnya sudah “naik tocang”. AC menerusi laman Facebook miliknya pada 10 Julai lalu meluahkan perasaan marah kepada seorang wanita yang tidak disebut nama tetapi dipercayai bekas isterinya.


Dalam Facebook itu AC meluahkan perasaan semakin dia berdiam diri, sikap wanita tersebut semakin menjadi-jadi. “Lagi kita diam lagi dia naik tocang. Mahkamah dah larang, dia tetap nak buat. Dah dua kali di mahkamah dia kalah sebab tak ada bukti yang saya gagal membayar, dia failkan kembali. Nak tipu masyarakat sebab nampak baik?” luah AC kesal dengan peristiwa itu.

Menerusi Facebook tersebut AC turut menjelaskan dia mempunyai bukti tidak mengabaikan tanggung jawab terhadap dua anaknya iaitu Muhammad Shafiq Iman,13 dan Muhammad Shabil Iman,10.
Katanya, setiap nafkah yang diberi kepada dua anaknya itu disokong dengan resit-resit pembayaran.
Tambahnya apa yang dilakukan oleh wanita itu sudah melampau dan jalan terbaik ialah mengambil tindakan melalui saman.

AC juga meminta masyarakat yang tidak tahu cerita sebenar supaya berdiam diri dan lihat sahaja tindakan yang hendak diambilnya terhadap wanita itu.“Kita tak nak mengaibkan tetapi kalau dah melampau, kau terimalah padahnya. Biar masyarakat tahu siapa sebenarnya yang menipu. 9 tahun aku tahan,” luahnya dalam laman sosial Facebook yang dibuka untuk para peminatnya itu.

Pada 6 Julai lalu, Shafnie menangis teresak-esak di Mahkamah Rendah Syariah, Kajang ketika menghadiri perbicaraan tuntutan nafkah anak apabila mengenangkan nasib dua anaknya pada masa hadapan, sekiranya sesuatu berlaku terhadap dirinya semasa mereka masih kecil.Dalam perbicaraan itu bekas model tersebut menjelaskan jumlah perbelanjaan persekolahan yang dituntutnya sebanyak RM300 untuk dua orang anak setahun sememangnya tidak mencukupi.

Selain itu, Shafnie juga menuntut bayaran bulanan yang terdiri daripada makanan sebanyak RM400, pengangkutan (RM240), pengajian Al-Quran (RM280), sewa rumah (RM650) dan pembantu rumah sebanyak (RM200). Dia juga menuntut bayaran pakaian sebanyak RM3,000 setahun yang meliputi pakaian sekolah, aktiviti ko-kurikulum kerana anaknya aktif bersukan dan menganggotai pengakap serta untuk kegunaan Hari Raya.

Turut dituntut ialah bayaran perubatan RM1,500 dan RM3,000 sebagai hiburan dan pelancongan.
Mahkamah dalam perbicaraan lain pada 13 Julai lalu menetapkan 4 dan 12 Oktober depan sebagai perbicaraan kes itu. AC Mizal dan Shafnie berkahwin pada 24 Jun 1995 dan bercerai pada 17 Oktober 2001. - mstar

Saturday, July 17, 2010

Maya Karin Sah Bercerai

Pelakon Maya Karin,31, mengesahkan telah bercerai dengan Muhammad Ali,40, atau nama asalnya Steven David Shorthose, Jumaat. Keputusan itu diputuskan oleh Hakim Syarie Mohd Amran Mat Zain selepas pasangan itu hadir di hadapannya.

Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang dikirim oleh pegawai syarikat rakaman Satu Entertainment iaitu Azlin Abas, pasangan tersebut membuat kenyataan bersama berhubung penceraian terbabit. Menerusi mesej yang dihantar kepada semua media kira-kira 9.30 malam, Jumaat, Maya dan Muhammad Ali meminta agar privasi mereka tidak diganggu.

Berikut ini disiarkan kenyataan ringkas berkenaan:
"Kami (Maya dan Muhammad Ali) pada hari ini, (16.7.2010) ingin memaklumkan telah mendapat persetujuan bersama untuk bercerai daripada mahkamah syariah. "Keputusan kami untuk berpisah dilakukan selepas membuat banyak pertimbangan selain mencari penyesalan mendalam. "Kami percaya keputusan ini menandakan masalah ini ditutup dan kami sangat menghargai jika privasi kami dapat dihormati tanpa sebarang spekulasi oleh pihak media pada masa hadapan," kata mereka.

Perceraian ini sekali gus menamatkan spekulasi yang mengatakan mereka sememangnya tidak bahagia selepas dua tahun berumah tangga. Maya dan Muhammad Ali berkahwin dalam suasana romantis pada 14 Ogos 2008 di Villa Corte de Lago, Itali. Majlis resepsi mereka diadakan di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) pada 26 Ogos tahun yang sama. - Petikan mstar

Friday, July 16, 2010

Isteri Raul Tuduh Kris Dayanti Tak Tahu Malu

Krisdayanti atau KD yang mengaku masih memakai cincin hadiah daripada bekas kekasihnya, Raul Lemos dituduh tidak tahu malu oleh isteri Raul, Ata.

"Saya kata dia tidak tahu malu. Dia (KD) sepatutnya punya rasa malu. Malu pada masyarakat kerana sebelum ini dia memberitahu sudah putus hubungan tetapi sekarang masih mencintai," kata Ata di rumahnya di Jalan Siaga, Pejaten, Jakarta Selatan, Rabu, seperti dipetik Detikhot.com.

Menurut detikhot lagi, Ata juga menuduh KD berbohong ketika menangis dan mengaku sudah mengakhiri hubungannya dengan Raul. Dia juga menganggap permintaan maaf pelantun Menghitung Hari itu kepadanya juga tidak jujur.

"Bukan saya sahaja yang boleh melihat, masyarakat juga boleh menilai. KD selama ini berbohong," ujarnya. Ata juga meminta KD bersabar jika ingin menikahi suaminya memandangkan dia baru sahaja memohon cerai daripada Raul.

Permohonan dilalukan di Mahkamah Negeri Timor Leste pada 8 Julai lalu.Ata juga turut meminta KD yang juga adik kepada Yuni Shara itu tidak terus-menerus menghebahkan hubungannya dengan Raul. - mstar

Thursday, July 15, 2010

Badrul Muhayat Buat Hal Lagi

'Saya kesal jamin dia'. “Perbuatannya memang kejam dan kali ini saya tak boleh maafkan dia lagi,” kata Julia Daud, 29, isteri pelakon popular, Badrul Muhayat, 42, yang mendakwa suaminya itu sekali lagi mengasari dirinya dan merampas wang jaminan mahkamah berjumlah RM2,500, Isnin lalu.
Menurutnya, kejadian itu membuatkan hatinya terus tertutup rapat buat pelakon terbabit yang berjanji akan berubah dan menjaganya dan anak-anak lebih baik.

“Bayangkan ketika dalam lokap, saya pergi melawat dan dia merayu supaya mencari wang untuk menjaminnya kerana tidak mahu tinggal lebih lama dalam lokap. “Saya yang tak pernah menjejak kaki di lokap terpaksa bawa seorang anak kami dan Badrul ketika itu berjanji akan lebih menumpukan perhatian kepada keluarga apabila dibebaskan,” katanya.

Julia berkata, isteri mana yang tidak sedih melihat suami dipenjarakan dan ini membuatkan hatinya mula cair dan sanggup berhutang semata-mata mahu memastikan suaminya keluar lokap. “Namun, saya kesal kerana tak sampai berapa jam selepas mahkamah membebaskannya sejurus dia membayar kompaun, Badrul sekali lagi buat hal. “Dia tergamak merampas wang jaminan RM2,500 yang ketika itu dipegang rakan kami sebelum melarikan diri dengan seorang wanita yang menunggunya dalam kereta,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, pelakon lelaki terbabit pada mulanya menghubungi rakan wanita mereka yang bertindak sebagai penjamin dan bertanyakan mengenai wang jaminan berkenaan. Wang jaminan itu dimasukkan ke akaun penjamin berkenaan atas perintah mahkamah sebaik perbicaraan kes Badrul didakwa mencederakan Julia selesai apabila mahkamah memerintahkan dia membayar kompaun RM1,000 kepada isterinya, Isnin lalu.

“Bagaimanapun, saya menasihatkan rakan itu jangan mengikut kata suami saya dan meminta dia menunggunya di kaunter bank berhampiran Mahkamah Ampang. Bagaimanapun, Badrul terlebih dulu tiba kerana dia mengekori rakan kami itu hingga ke kaunter bank. “Sebaik rakan kami mengeluarkan wang, suami saya terus merampasnya. Tidak lama selepas itu, saya tiba dan saya berjanji akan memberikan RM1,000 daripada wang itu kepadanya bagi membolehkannya membayar kompaun yang dikenakan mahkamah,” katanya.

Menurut Julia, berikutan itu dia meminta suaminya menyerahkan baki wang jaminan berkenaan, namun Badrul berdegil sebelum berlaku pergelutan. Dalam pergelutan itu, Badrul menolak badan dan kepala Julia sebelum tergesa-gesa meninggalkan kawasan itu dengan sebuah kereta bersama seorang wanita yang menunggu di dalam kenderaan itu selepas menyedari perbuatannya diperhatikan orang ramai.
Berikutan itu, Julia membuat laporan polis kerana tidak puas hati dengan tindakan suaminya itu. - hmetro

Wednesday, July 14, 2010

Bila Si Bapa Berperangai Syaitan

KULIM- Siapa sangka remaja berusia 15 tahun yang masih bersekolah di sini, menyimpan pelbagai sejarah hitam dalam hidupnya.

Ida (bukan nama sebenar) adalah anak ketiga daripada lima beradik. Menurutnya, ketika berusia tujuh tahun, dia dirogol bapa kandungnya beberapa kali sebelum dijadikan alat pemuas nafsu rakan bapanya itu.

Pada usia sementah itu, dia masih tidak mengenal erti kehidupan dan hanya menurut segala arahan bapanya. Namun, disebabkan tidak tahan dengan perbuatan bapanya, dia menceritakan permasalahan yang menimpanya itu kepada ibunya yang kemudiannya membuat laporan polis.

“Setahun selepas dia merogol saya, saya diarah bapa melayani nafsu kawan-kawannya pula. Saya akan diberi upah RM10 setiap kali melakukan perbuatan keji itu. Saya diminta melakukan perbuatan itu bersama seorang pak cik. Hampir setahun pak cik melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap saya. "Semua ini saya rahsiakan daripada pengetahuan orang lain kerana saya diugut bapa sekiranya perkara ini diketahui orang lain, saya akan dicederakan. Saya pernah merayu kepada kawan-kawan bapa supaya tidak melakukan perbuatan itu ke atas saya, tetapi mereka tidak endahkan malah terus memuaskan nafsu mereka kerana sudah membayar duit kepada bapa.

"Perkara ini berlaku sehinggalah saya berusia 11 tahun," katanya.

Dia tidak menafikan perbuatan keji bapanya itu bukan saja berlaku terhadap dirinya malah nasib sama turut dialami beberapa adik beradiknya. Ada di antara mereka diliwat. Menurutnya, mereka menjadi trauma terhadap bapa yang sering menjadikan mereka adik beradik tempat memuaskan nafsu.

Walaupun ibunya kini bercerai dengan bapanya, lelaki itu masih mengganggu mereka. “Saya sedih kerana orang sering ambil kesempatan terhadap diri saya sehingga hari ini. Ada antara mereka mengugut untuk menceritakan apa yang berlaku ke atas saya kepada orang lain dan mengaibkan saya semata-mata mahu melakukan hubungan seks dengan saya. "Saya tertekan dan kini selalu bermasalah. Tidak ramai yang mahu mempercayai saya, malah menganggap saya bohsia. Semua ini tidak benar.

"Polis menyiasat kes ini dan bapa sekarang di bawah jaminan. Saya berharap mahkamah dapat mempercepatkan pendakwaan terhadap bapa saya kerana dia masih berlegar di sekitar kawasan Kulim. Selagi dia masih ada, tidak ada sebarang pembelaan terhadap kami adik beradik," katanya.- sinarharian