Pegawai
Imigresen sentiasa berhadapan dengan semua jenis ketibaan di Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tetapi tiada seorang pun
menjangka akan menerima bayi yang baharu lahir selepas seorang wanita
warga Turki bersalin sebaik sahaja pesawat dinaikinya mendarat.
Pegawai
Imigresen, Nur Marlina Daraman, 35, sedang bertugas di pintu ketibaan
di aras tiga lapangan terbang itu pada Jumaat apabila seorang wanita
mengandung meluru masuk ke pejabatnya pada kira-kira pukul 12.15 tengah
hari.
Wanita
dalam lingkungan 30an itu, terpaksa menahan kesakitan. Dia ketika itu
sedang mendukung bayi berusia setahun dan membawa bagasi. "Dia bercakap sesuatu kepada saya tetapi saya tidak faham bahasa asing yang dituturnya," kata Nur Marlina. "Tetapi dia tidak perlu berkata apa-apa kerana saya dapat melihat air mukanya menandakan dia mahu bersalin."
Sementara
rakan sekerjanya, Nur Damiea Lawrence Abdullah menghubungi seorang
doktor, Nur Marlina memimpin wanita itu masuk ke pejabat dan
membaringkannya di atas kain di atas lantai. Dia sudah pun dapat melihat kepala bayi itu ketika dia membantu wanita itu menanggalkan pakaian.
"Saya ketika itu takut. Saya tidak dilatih untuk mengendalikan situasi seperti itu," katanya. "Saya
tidak pernah melihat orang melahirkan anak sebelum ini. Tetapi dia
sudah ada di situ di atas lantai, maka saya perlu berbuat sesuatu. "Apa
yang saya boleh lakukan adalah menenangkannya sementara kami menunggu
doktor datang. Pegawai-pegawai lain turut membantu," kata Nur Marlina.
Seorang doktor dan seorang bidan tiba, dan beberapa pegawai Imigresen membantu dengan kelengkapan ketika wanita itu bersalin. "Wanita itu selamat melahirkan anak yang sihat pada pukul 12.30 tengah hari," kata Nur Marlina.
Timbalan
Pengarah Imigresen KLIA, Sarbini Hussein berkata, wanita itu dibawa ke
Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut. Turut serta ialah bayi yang
baharu dilahirkan dan seorang lagi bayi. "Kami tidak dapat bercakap dengan dia selepas itu. Dia tidur selepas bersalin," kata Sarbini. Menurut
pasport wanita berkenaan, dia tiba di KLIA dari Johor Bahru. Jabatan
Imigresen bagaimanapun enggan mendedahkan nama wanita itu atas
sebab-sebab privasi. mstar
No comments:
Post a Comment