ad ld

Pages

Showing posts with label anak. Show all posts
Showing posts with label anak. Show all posts

Saturday, July 17, 2010

Saman Anak, Ibu Bapa Makin Serius

Kecenderungan ibu bapa menyaman atau disaman anak kini seolah-olah menjadi trend baru dalam masyarakat Melayu hingga mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak kerana menggambarkan kerapuhan institusi kekeluargaan.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar, berkata ketika ini lebih 10 kes saman membabitkan kedua-dua pihak dalam proses perbicaraan di mahkamah sivil atau syariah di seluruh negara dan dijangka meningkat pada masa depan.

Kes itu termasuk tuntutan saraan, nafkah serta pembahagian harta dan bukan saja membabitkan ibu bapa menyaman anak, malah orang tua disaman anak. “Isu saman antara ibu bapa dan anak ini boleh dilihat dari dua sudut. Jika dilihat dari sudut positif, ini menunjukkan ibu bapa atau anak semakin celik undang-undang dan mengetahui hak masing-masing.

“Bagaimanapun dari sudut kekeluargaan, peningkatan kes sebegini menunjukkan keruntuhan institusi itu, sedangkan keharmonian dan kekukuhan ikatan kekeluargaan, terutama dengan ibu bapa, amat dititikberatkan dalam Islam serta budaya Melayu. “Sebaik-baiknya kedua-dua pihak mencari jalan perdamaian kerana mahkamah bukan tempat utama untuk isu kekeluargaan, ia adalah jalan penyelesaian terakhir,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelmarin, seorang bapa Baharom Long, 85, memfailkan saman terhadap tiga anaknya menuntut ganti rugi lebih RM2 juta kerana mendakwa dikurung dan dipaksa menandatangani surat akuan bersumpah berhubung pembahagian dua lot tanah miliknya dan arwah isteri.

Selasa lalu, pesara, Mustafa Ismail, 64, memfailkan saman terhadap anaknya, seorang pengurus syarikat cari gali minyak, menuntut tunggakan nafkah berjumlah RM20,000 untuk dua cucunya.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang sangat bimbang dengan perkembangan yang melanda masyarakat Islam itu, berkata sepatutnya antara ibu bapa dan anak mesti ada sikap kasih sayang serta hormat menghormati seperti dituntut agama. “Saya cukup bimbang dengan keadaan sekarang... anak derhaka dan biadab terhadap ibu bapa, kes buang bayi... seolah-olah sudah tidak ada lagi kemanusiaan dalam diri manusia. “Ini akibat kehidupan moden yang tidak bermoral, terlalu mengejar harta sehingga melupakan keluarga atau siapa yang melahirkan kita,” katanya. - bharian

Thursday, July 15, 2010

BATAS - BATAS DALAM BERHIAS

Hadith:
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:”Allah mengutuk wanita yang bertatu atau minta ditatu, wanita yang mencukur alis dan mereka yang meminta dicukur alis mereka, wanita yang membentuk giginya agar kelihatan cantik dan mereka yang mengubah ciptaan Allah.”
Riwayat Ibnu Mas’ud 

Huraian :
i) Maksud mengubah ciptaan Allah s.w.t. ialah membuat perubahan pada ciptaan Allah S.W.T yang telah sempurna secara pandangan umum dan adat atas dasar tidak berpuas hati dengan anugerah itu, bukan kerana memperbaiki atau memulihkan kecacatan.

ii) Mencabut bulu kening yang merupakan anugerah dan ciptaan Allah S.W.T. yang sempurna dan membuat atau melukis bulu kening yang baharu selepas itu agar menepati cita rasa sendiri supaya kelihatan lebih cantik, menawan dan bergaya adalah perbuatan yang haram di sisi Islam.

iii) Jika perbuatan mencabut bulu kening itu disebabkan ia tumbuh berselerak dan tidak kemas yang amat teruk, maka hal ini tidaklah termasuk dalam erti kata mengubah ciptaan Allah S.W.T.
Lagipun jika yang dicabut itu hanyalah yang berselerak dan bukan termasuk bulu yang dipanggil kening serta tidak membuat lukisan semula terhadapnya. Ini dilakukan atas dasar menjaga kekemasan diri bukan kerana tidak puas hati dengan ciptaan Allah S.W.T kerana Allah S.W.T itu cantik dan sukakan kecantikan.

iv) Hanya rawatan ke atas penyakit yang tidak boleh sembuh dengan sendirinya sahaja yang diharuskan seperti memasang gigi palsu di tempat gigi yang rongak (bukan mematahkan gigi dan menggantikannya dengan yang lain), mengatur susunan gigi yang tidak tersusun (tapi bukan mengasah atau mengikir), memakai ubat supaya rambut tumbuh di tempat yang botak (bukan memakai rambut palsu), memakai ubat untuk membuang jeragat pada kulit (bukan membuat pembedahan plastik atau memakai bahan kimia untuk menukar warna kulit), memakai inai, syampu atau gel pada rambut atau janggut supaya lebih segar dan terurus (bukan mewarnakannya dengan cat atau spray) dan sebagainya sebagai perbezaan antara merawat/menjaga keaslian ciptaan Allah S.W.T dengan mengubah ciptaan-Nya di mana merawat/menjaga itu adalah Harus manakala mengubahnya adalah Haram.

v) Diri manusia dan segala makhluk di alam ini adalah hak mutlak Allah S.W.T, Oleh itu kita hendaklah mematuhi segala hukum dan kehendak agama dengan baik. Janganlah tertipu dan terpengaruh dengan tabiat orang yang suka menurut hawa nafsunya disebabkan sikap tidak bersyukur dan tidak berpuas hati dengan ciptaan dan anugerah Allah di mana sikap ini sebenarnya merupakan sikap yang diwarisi daripada syaitan.
Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Wednesday, July 14, 2010

Bila Si Bapa Berperangai Syaitan

KULIM- Siapa sangka remaja berusia 15 tahun yang masih bersekolah di sini, menyimpan pelbagai sejarah hitam dalam hidupnya.

Ida (bukan nama sebenar) adalah anak ketiga daripada lima beradik. Menurutnya, ketika berusia tujuh tahun, dia dirogol bapa kandungnya beberapa kali sebelum dijadikan alat pemuas nafsu rakan bapanya itu.

Pada usia sementah itu, dia masih tidak mengenal erti kehidupan dan hanya menurut segala arahan bapanya. Namun, disebabkan tidak tahan dengan perbuatan bapanya, dia menceritakan permasalahan yang menimpanya itu kepada ibunya yang kemudiannya membuat laporan polis.

“Setahun selepas dia merogol saya, saya diarah bapa melayani nafsu kawan-kawannya pula. Saya akan diberi upah RM10 setiap kali melakukan perbuatan keji itu. Saya diminta melakukan perbuatan itu bersama seorang pak cik. Hampir setahun pak cik melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap saya. "Semua ini saya rahsiakan daripada pengetahuan orang lain kerana saya diugut bapa sekiranya perkara ini diketahui orang lain, saya akan dicederakan. Saya pernah merayu kepada kawan-kawan bapa supaya tidak melakukan perbuatan itu ke atas saya, tetapi mereka tidak endahkan malah terus memuaskan nafsu mereka kerana sudah membayar duit kepada bapa.

"Perkara ini berlaku sehinggalah saya berusia 11 tahun," katanya.

Dia tidak menafikan perbuatan keji bapanya itu bukan saja berlaku terhadap dirinya malah nasib sama turut dialami beberapa adik beradiknya. Ada di antara mereka diliwat. Menurutnya, mereka menjadi trauma terhadap bapa yang sering menjadikan mereka adik beradik tempat memuaskan nafsu.

Walaupun ibunya kini bercerai dengan bapanya, lelaki itu masih mengganggu mereka. “Saya sedih kerana orang sering ambil kesempatan terhadap diri saya sehingga hari ini. Ada antara mereka mengugut untuk menceritakan apa yang berlaku ke atas saya kepada orang lain dan mengaibkan saya semata-mata mahu melakukan hubungan seks dengan saya. "Saya tertekan dan kini selalu bermasalah. Tidak ramai yang mahu mempercayai saya, malah menganggap saya bohsia. Semua ini tidak benar.

"Polis menyiasat kes ini dan bapa sekarang di bawah jaminan. Saya berharap mahkamah dapat mempercepatkan pendakwaan terhadap bapa saya kerana dia masih berlegar di sekitar kawasan Kulim. Selagi dia masih ada, tidak ada sebarang pembelaan terhadap kami adik beradik," katanya.- sinarharian