Peserta Ezani Farhana Md Monoto, 26, berjaya menewaskan Wahidan Ag Supain dengan bergelar juara MasterChef Malaysia yang pertama pada pertandingan akhir program Masterchef, malam Ahad.
Kemenangan Ezani melayakkan dirinya untuk membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro serta kontrak menerbitkan dan mengedarkan buku masakan sendiri.
Ezani berkata, usaha gigihnya sehingga terpaksa meninggalkan sementara kerjaya profesional sebagai seorang doktor gigi untuk terlibat dengan program realiti tersebut ternyata berbaloi apabila dinobatkan sebagai juara MasterChef Malaysia yang pertama.
“Dinobatkan sebagai MasterChef Malaysia musim pertama merupakan perasaan yang paling menakjubkan dan sesuatu tidak pernah disangka akan terjadi dalam hidup saya. "Terlalu banyak yang saya pelajari sepanjang pertandingan ini terutamanya ilmu-ilmu kulinari daripada chef-chef terkemuka, pendedahan dunia kulinari, pengalaman memasak dalam pelbagai situasi.
"Bersaing dengan Wahidan pada peringkat akhir merupakan satu penghormatan yang amat besar kerana dia merupakan seorang tukang masak yang paling jujur dan hebat," katanya yang ditemui selepas tamatnya siaran episod terakhir, Santapan Penamat yang ditayangkan di Astro Ria (Saluran 104) di Tapis Rouge.
Pada permulaan episod 'Santapan Penamat' ini, Ezani dan Wahidan perlu melakukan pemeriksaan bahan di dapur sebelum mencipta menu dan resipi terbaik mereka. Sebagai kejutan, setiap finalis perlu memilih lima peserta 'Top 24' yang telah tersingkir untuk membantu mereka menyediakan juadah yang perlu mereka siapkan dalam tempoh tiga jam.
Peserta Wahidan telah memilih Amita, Zamir, Danial, Shariah dan Deena manakala Ezani memilih Ary Malik, Brian, Felix Azilah dan Imelda. Kedua-dua pasukan perlu menyediakan menu lengkap termasuk pembuka selera, hidangan utama dan pencuci mulut untuk dihidangkan kepada 40 orang tetamu.
Wahidan memilih untuk menghidangkan Udang dan Kekapis di Perap dengan Citrus (Pembuka Selera), Siakap Beromakan Sos Kantan dan Tuhau (Hidangan Utama) dan Fillo Kastard Krim Bersama Buahan Beri (Pemanis Mulut). Manakala Ezani menghidangkan Salad Nusantara dengan Kekapis (Pembuka Selera), Lamb Cutlets dengan Medley Sayur-Sayuran (Hidangan Utama) dan Kek Ubi Bit Berempah (Spiced Beetroot Cake) (Pemanis Mulut).
Tetamu yang hadir pada episod ini sebahagian besar merupakan para chef profesional dan menilai makanan yang disediakan. Dalam pada itu, 40 peratus markah manakala juri tetap yang dibarisi oleh Chef Joe, Chef Zubir dan Chef Riz pula melengkapkan baki 60 peratus markah.
Pengurus Kumpulan Saluran Hiburan Astro, Puan Azlin Reza Azmi berkata MasterChef Malaysia telah mencipta fenomena di negara ini dan menjadi satu lagi program terbaik dan menjadi pilihan utama penonton sepanjang 12 minggu tayangan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PANASONIC ‘Cooking Magic’ selaku penaja utama MasterChef Malaysia. Begitu juga kepada penaja bersama iaitu Hong Leong Bank, Jaya Grocer, Maggi, MyChef, NeuVida Omega-9 Cooking Oil, BHP Petronas, MPH Bookstore dan Scott.
"Sokongan yang telah diberikan oleh pelbagai pihak sepanjang penerbitan MasterChef Malaysia amat kami hargai dan berharap kerjasama ini dapat diteruskan pada masa depan" ujarnya. mstar
No comments:
Post a Comment