Tatkala melihat hidangan burger sebesar pemeluk, sudah pasti melahirkan perasaan teruja kepada sesiapa sahaja.
Apatah lagi, burger merupakan salah satu hidangan yang menjadi pilihan penggemar makanan segera di negara ini.
Lazimnya, burger gergasi yang mencecah lebih tiga kilogram (kg) sebelum ini hanya dapat ditonton melalui kaca televisyen berdasarkan cerita dari luar negara ataupun Internet.
Ternyata, idea hidangan seumpama itu telah mencetus kreativiti beberapa pengusaha burger di negara ini. Kini, penggemar makanan tempatan boleh menikmati burger gergasi di gerai burger YB yang terletak di Kompleks Perniagaan Anjung 7, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.
Burger gergasi buatan sendiri Abu Yazid Abdul Kadir, 32, itu menawarkan tiga pilihan saiz dan pelbagai jenis roti kepada penggemar burger yang inginkan sesuatu yang baharu.
Berbekalkan pengalaman selama hampir 14 tahun dalam bidang perniagaan burger, Abu Yazid berkata, pengenalan burger YB, iaitu singkatan untuk 'yang besar' adalah untuk mencipta kelainan kepada penggemar burger di negara ini.
"Sungguhpun pengenalan burger YB baru mencecah usia sebulan, permintaan terhadap burger berkenaan berjaya mencuri tumpuan orang ramai. "Ia sesuatu yang di luar dugaan kerana saya tidak menjangka sama sekali burger besar ini akan mendapat permintaan tinggi," ujarnya.
Pada mulanya, perasaan ragu-ragu menyelubungi pemilik burger YB itu memandangkan pembuatannya disasarkan untuk para tetamu jamuan hari jadi ataupun majlis korporat sahaja.
Lebih melucukan, terdapat segelintir pihak yang meragui kesahihan saiz burger berkenaan apabila gambarnya dimuat turun di laman blog. Bahkan, ada yang mengatakan ia adalah hasil kesan penyuntingan imej.
Bagaimanapun, anak jati Perak itu tidak pernah mengenal erti putus asa, sebaliknya terus berupaya menarik nafas lega apabila burger gergasi mula mendapat permintaan tinggi selepas beberapa minggu beroperasi.
Abu Yazid menjelaskan, pelanggan-pelanggan boleh memilih tiga variasi berat patti daging. Mereka boleh memilih patti daging burger seberat satu kilogram (kg), 500 gram (g) atau 250g.
"Patti daging burger yang seberat sekilogram sesuai dimakan sehingga lapan orang, 500g pula untuk empat orang manakala 250g sesuai bagi pasangan. "Kalau larat, boleh habiskan burger seberat sekilogram tersebut seorang diri," katanya berseloroh.
Selain daripada itu, pelanggan juga boleh memilih salah satu daripada tiga perisa daging patti iaitu lada hitam, cendawan, tom yam dan BBQ (barbeku).
"Pelanggan boleh memilih roti oregano, bawang putih, oat madu ataupun roti mil penuh mengikut selera masing-masing. "Mengikut selera masing-masing, kami memberi pilihan sayur-sayuran untuk disertakan dalam burger YB iaitu salad, bawang, tomato, timun, kobis dan lobak merah," ujarnya yang sedang mengikuti kursus Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) di Universiti Sains dan Pengurusan (MSU), Shah Alam. Semua pilihan itu disempurnakan dengan aneka jenis sos tambahan dan buah-buahan termasuk lada hitam, cendawan, jalapeno, epal, nanas, serta zaitun.
Sementara itu, seorang pelanggan burger YB, Mohd. Izham Mukhari, 27, mengakui, dia sangat teruja apabila kali pertama melihat burger besar tersebut.
"Kali pertama melihatnya, perasaan membuak-buak untuk merasainya. Ia sama sekali tidak menghampakan kerana apabila mengunyah, kita boleh merasai campuran rempah ratus yang sebati dalam burger berkenaan," katanya yang mencuba burger seberat 500g.
Izyani Zahari, 29, pula memberitahu, keenakan burger berkenaan bukan sahaja terletak pada patti malah rotinya.
"Tekstur roti sangat gebu dan lembut apatah lagi apabila kita menikmati bersama dengan daging burger serta sayur-sayuran. "Dalam pada itu, ia amat sesuai untuk dinikmati secara beramai-ramai bersama keluarga dan kawan-kawan," kata pekerja swasta itu lagi.
Bagi seorang lagi penggemar burger YB, Norly Azman, 23, dia dapat merasai kelainan pada daging burger dan roti apabila menikmati burger YB. "Daging yang dimakan terasa lebih segar dan tidak berminyak. Lebih utama, rupa dan rasanya membangkitkan selera," katanya. kosmo
-- Pokok Betik Berwajah Manusia Di Kg Parit Hassan Pontian
-- Pelajar UPSI Maut Jatuh Bangunan E Learning, Gangguan Mistik
-- Yazid Burger Seksyen 7 Shah Alam Burger YB Yang Besar
2 comments:
xde snarai hrga ke???
snrai hrga xde ke???
Post a Comment