ad ld

Pages

Showing posts with label AC Mizal dpt gelaran Datuk. Show all posts
Showing posts with label AC Mizal dpt gelaran Datuk. Show all posts

Monday, October 25, 2010

Gelaran Datuk A.C Mizal Ditarik Balik?

PETALING JAYA: Pelakon Emylia Rosnaida menafikan gelaran Datuk daripada Istana Pahang terhadap suaminya, pengacara A.C Mizal ditarik balik sebaliknya memaklumkan darjah itu akan dikurniakan secara rasmi dalam satu istiadat yang akan diadakan pada bulan Disember nanti.

Emylia yang juga pengurus kepada A.C Mizal berkata, pihaknya telah pun menerima surat pengurniaan darjah kebesaran peringkat kedua iaitu Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk pada bulan Ramadan lalu.

“Dakwaan mengatakan darjah berkenaan ditarik balik itu tidak benar kerana pihak kami sudah menerima surat pengurniaan pingat oleh Istana Pahang pada bulan Ramadan lalu. Setahu saya dia (A.C Mizal) akan menerima surat lain dua minggu sebelum istiadat pengurniaan pingat di lakukan pada Disember nanti,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Ahad.

Emylia diminta mengulas desas-desus kononnya darjah kebesaran terhadap A.C Mizal itu ditarik balik selepas nama pelakon tersebut tidak tersenarai dalam majlis pengurniaan pingat sempena ulang tahun keputeraan ke-80 Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, yang berlangsung di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang, Ahad.

Seramai 1,211 individu menerima darjah kebesaran dan pingat negeri sempena majlis tersebut termasuklah pelakon Datuk Mustafa Maarof yang menerima anugerah Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP), Datin Rosnani Jamil dan pengulas sukan, Hasbullah Awang yang menerima DIMP di mana kedua-dua anugerah itu membawa gelaran Datuk.

Kata Emylia isu penarikan itu timbul mungkin kerana nama suaminya tidak disiarkan di akhbar-akhbar tempatan Ahad, tetapi dakwaan tersebut sebenarnya tidak benar. - mstar

Wednesday, October 13, 2010

Kali Terakhir AC Mizal Beli Baju Raya Anak 2005 - Shafnie

KAJANG 12 Okt. - Bekas isteri pengacara dan pelakon AC Mizal, Shafnie Zainuddin memberitahu Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini bahawa kali terakhir selebriti itu membeli pakaian dua anak mereka sempena Aidilfitri adalah pada 2005. Menurut Shafnie, 34, selain daripada itu, dialah yang membiayai segala keperluan perayaan bagi Muhammad Shafiq Iman, 14, dan Muhammad Shabil Iman, 12. Bekas model itu menyatakan demikian ketika disoal oleh peguam syarie Mohd. Ridhwan Husin yang mewakilinya dalam perbicaraan tuntutan untuk mengubah nafkah anak di hadapan Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah.

Ditanya pula peranan AC Mizal dalam bidang pendidikan, Shafnie mendakwa, lelaki itu tidak pernah melawat anak-anak di sekolah atau berjumpa guru untuk mengetahui perkembangan pelajaran mereka.
Kata wanita itu lagi, tuntutannya itu selaras dengan keperluan perbelanjaan yang semakin bertambah serta kos sara hidup yang meningkat.

Menurutnya, pada tahun 2004, dia bersetuju menerima nafkah RM300 sebulan kerana memahami keadaan AC Mizal yang kurang berkemampuan pada ketika itu. - Utusan

Tuesday, October 5, 2010

Kes Mahkamah Shafnie - AC: Shafnie Dakwa AC Mizal Pamer Kemewahan

KAJANG: Bekas isteri AC Mizal mendakwa pelakon dan bekas pengacara Akademi Fantasia (AF) tersebut mempamerkan kekayaannya di media cetak dan elektronik. Shafnie Zainudin berkata, dia mengetahui tentang peningkatan pendapatan AC Mizal melalui media meskipun jumlah sebenar yang diperoleh tidak pernah dinyatakan secara spesifik. “Dia (AC Mizal) pamerkan di media tentang berapa pendapatan mewah, kereta-kereta mewah, perbelanjaan dan juga perniagaan mewah dia,” kata Shafnie di Mahkamah Rendah Syariah di sini Isnin.

Shafnie, 35, yang mendakwa AC Mizal atau nama sebenarnya Mizal Zaini, 39, dibayar RM5,000 untuk satu episod AF mengakui bahawa perkara itu hanya diberitahu oleh individu yang bekerja di syarikat televisyen. Shafnie juga dilihat begitu tegas mempertahankan pendapatnya bahawa tuntutan insurans dan dana pendidikan yang dituntut untuk dua anak mereka merupakan nafkah asasi yang digariskan oleh Islam. Prosiding mahkamah juga ‘diselitkan’ dengan kata-kata sinis antara Shafnie dan peguam syarie Siti Aishah Din yang mewakili AC Mizal.

Antaranya, Siti Aishah mempersoalkan bagaimana Shafnie boleh mengetahui tentang pendapatan AC Mizal jika ia tidak pernah dilaporkan.
Shafnie: Cik Aishah, hanya orang yang benar-benar kaya sahaja yang boleh memiliki beberapa kereta mewah. Dari situ, semua orang boleh tahu.
Siti Aishah: Janganlah emosi.
Siti Aishah juga mempersoalkan pembelian kain jenis sifon yang sering digunakan oleh golongan wanita, pembelian barangan keperluan bayi dan buku bacaan untuk kanak-kanak berusia bawah tiga tahun.
Shafnie dengan selamba menjawab: “Sifon itu kain Cik Aishah untuk anak bagi dibuat baju Melayu. Barangan bayi untuk hadiah oleh anak saya buat gurunya yang baru bersalin dan buku mungkin saya beli sekali untuk anak buah saya.”

Perbicaraan bagi mengubah nafkah anak yang didengar di hadapan Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah bersambung 12 Oktober ini. AC Mizal dan Shafnie berkahwin pada 24 Jun 1995 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Shafiq Iman, 13, dan Muhammad Shabil Iman, 10, sebelum sah bercerai pada 17 Oktober 2001.

Sementara itu, AC Mizal yang masih menantikan masjli penganugerahan gelaran Datuk tersenyum apabila dipanggil sebagai ‘Datuk’ oleh media. Dia yang ditemani seorang lelaki juga memberitahu, kehidupannya masih sama seperti sebelum menerima gelaran tersebut. “Demam adalah,” katanya.

Wednesday, September 22, 2010

AC Mizal Sahkan Terima Gelaran Datuk

Pelakon dan pengacara AC Mizal mengesahkan menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk daripada Sultan Pahang. Bekas pengacara Akademi Fantasia itu mengakui telah menerima surat penganugerahan tersebut pada awal Ramadan lalu dan bakal menerima secara rasmi gelaran berkenaan mengikut adat istiadat istana pada akhir tahun ini. "Saya sudah menerima surat dari pihak istana berhubung perkara ini namun belum lagi menghadiri majlis perlantikan secara rasmi di istana.

 "Insya-Allah ia mungkin diadakan pada hujung tahun ini, tapi pihak istana sudah memberi keizinan untuk saya terus mengunakan gelaran tersebut," ujarnya ketika ditemui pada Majlis Ulang Tahun ke10 Perkahwinan Vanida Imran dan Rashidi Ishak, Isnin. Bagaimanapun, menurut AC dia masih belum mengunakan gelaran tersebut dan masih dalam proses mempersiapkan diri. "Gelaran itu satu anugerah kepada saya. Ia bagus untuk bisnes yang sedang saya jalankan sekarang, namun begitu buat masa ini saya belum berani untuk mengunakannya kerana belum menghadari majlis penganugerahan.

"Saya masih dalam proses untuk berubah daripada seorang artis kepada ahli perniagaan selain mahu menerima gelaran tersebut," ujarnya. Dalam pada itu, Pengerusi AC Konsortium Sdn Bhd ini juga memberitahu gelaran Datuk yang diterimanya merupakan rezeki selepas dia menceburkan diri dalam bidang perniagaan. - mstar