ad ld

Pages

Showing posts with label terkini kes sosilawati. Show all posts
Showing posts with label terkini kes sosilawati. Show all posts

Sunday, September 12, 2010

Terbaru : Datuk Sosilawati Mati Dibunuh Di Morib

Empat mayat dipercayai termasuk jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya (gambar) dan tiga rakannya yang dilaporkan hilang sejak 13 hari lalu ditemui dekat pantai Morib, Selangor semalam. Kesemua mereka dibunuh dengan kejam sebelum dibuang dan dibakar di ladang ternakan ayam dekat Tanjung Layang, Morib.

Setakat ini polis sudah menahan enam individu berhubung penemuan mayat-mayat tersebut. Motif pembunuhan belum dapat dipastikan. Kehilangan Sosilawati, 47, bersama tiga lelaki lain dipercayai didalangi seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ yang dikatakan individu terakhir yang ditemui jutawan kosmetik itu ketika urus niaga tanah dijalankan di Banting, Selangor pada 30 Ogos lalu. ‘Datuk’ berkenaan yang mempunyai ramai kenalan di kalangan orang kenamaan dipercayai berperanan sebagai broker dalam penjualan tanah bernilai RM4 juta di Pulau Pinang.

Satu sumber memberitahu, ahli perniagaan itu dipercayai mempunyai banyak petunjuk bagi membantu siasatan kes, termasuk mengesan lokasi keempat-empat mangsa disembunyikan. “Dia dikatakan pernah terbabit dalam kegiatan penipuan jual beli tanah, dipercayai didalangi sindiket terancang. Malah, beberapa laporan polis pernah dibuat terhadapnya sebelum ini berkaitan urus niaga tanah. “Difahamkan, ahli perniagaan terbabit mahir ‘menghilangkan’ pelanggannya,” kata satu sumber ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Jelasnya, sebelum ini dua pelanggan dilaporkan hilang selepas mengadakan urus niaga tanah dengannya dan sehingga kini masih belum ditemui, namun lelaki tersebut menafikan semua dakwaan itu. Ujar beliau, maklumat turut menyatakan ahli perniagaan itu sering terlepas daripada tindakan undang-undang kerana mempunyai hubungan istimewa dengan orang kenamaan, selain mahir dalam bidang perundangan.

Sosilawati yang merupakan pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu. Turut hilang ialah peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; dan seorang lelaki, Kamaruddin Shansuddin, 44, yang dikatakan pemandu peribadi jutawan itu. - kosmo

Wednesday, September 8, 2010

Kau Nak Bawa Aku Ke Mana Ni? - Datuk Sosilawati

“Kau nak bawa aku ke mana ni?” Itu suara cemas Datuk Sosilawati Lawiya didengar kali terakhir suaminya melalui panggilan telefon yang dibuat jutawan kosmetik berkenaan sebelum ia terputus. Suaminya, seorang ahli perniagaan dari Indonesia mendengar Sosilawati mengulangi pertanyaan itu berulang kali. Selepas panggilan telefon itu terputus, suami pengasas syarikat Nouvelle Visages (NV) itu cuba menghubungi telefon bimbit Sosilawati, namun gagal.

Sumber polis berkata, Sosilawati dipercayai cuba menghubungi suaminya yang berusia 40-an itu untuk meminta bantuan pada hari dia dilaporkan hilang. “Difahamkan, dia turut menghantar SMS kepada anak sulungnya (Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25,) supaya tidak membenarkan seorang kenalan terdekatnya memasuki rumahnya di Gombak, Selangor. “Malah, mangsa sempat menghantar SMS kepada anaknya mendakwa dia percaya gambar dirinya diambil secara curi atas motif tertentu,” katanya.

Difahamkan, polis sudah mengambil keterangan keluarga terdekat Sosilawati selain isteri peguamnya, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dan isteri pegawai kredit CIMB Bank, Noorhisham Mohammad, 38, yang didapati hilang bersama jutawan terbabit pada 30 Ogos lalu. Berdasarkan siasatan, Sosilawati pernah beberapa kali pergi ke Banting, Selangor, untuk bertemu seorang peguam yang menguruskan soal jual beli tanah milik mangsa.

“Difahamkan, peguam warga tempatan itu pernah dilihat rakan karib Sosilawati bertemu peguam berkenaan. Malah, Sosilawati didakwa turut pernah mengambil beberapa cek daripada peguam berkenaan. - kosmo