ad ld

Pages

Thursday, November 4, 2010

(Gambar) Lesen Hospital Di Jln Ipoh Terbabit Kes Jual Bayi Tamat Tempoh April

KUALA LUMPUR: Mengejutkan, hospital swasta di Jalan Ipoh, yang diserbu polis kerana dipercayai terbabit dalam sindiket penjualan bayi petang kelmarin, didapati sudah tamat tempoh lesen operasinya sejak April lalu.

Selepas serbuan polis yang membongkar aktiviti haram itu, tinjauan Berita Harian semalam mendapati hospital berkenaan berkunci dan diletakkan tanda “ditutup".

Tindakan itu dikatakan berikutan penahanan enam suspek termasuk pemilik hospital yang juga seorang doktor bergelar Datuk, isterinya dan anak perempuan mereka juga doktor serta tiga jururawat hospital itu. Mereka ditahan reman selama tiga hari mulai semalam.

Sumber Kementerian Kesihatan memberitahu, hospital itu kini pada peringkat rayuan untuk memperbaharui lesen, namun enggan mendedahkan sebab lambat mendapat kelulusan.

“Hospital itu ada membuat permohonan memperbaharui lesen, namun disebabkan beberapa isu, kita masih belum meluluskannya,” katanya yang enggan mendedahkan butiran lanjut.

Berita Harian semalam mendedahkan, Unit Anti Pemerdagangan Orang Bukit Aman menyerbu hospital itu dan menahan enam suspek berkenaan kira-kira jam 4.15 petang selepas selesai urusan menjual seorang bayi perempuan berusia seminggu di hospital itu kepada sepasang suami isteri dengan harga RM21,000. Dalam kejadian itu, polis juga berjaya menyelamatkan seorang bayi lelaki berusia kira-kira empat bulan. Kedua-dua bayi yang diselamatkan itu kini diletakkan di se-buah pusat perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sumber itu berkata, pihaknya banyak menerima aduan mengenai salah laku hospital dan klinik swasta yang dipercayai menjual bayi itu, namun sehingga kini tiada sebarang laporan diterima. Katanya, jika hospital itu didapati bersalah menjual bayi, Kementerian Kesihatan mungkin menarik semula lesen operasinya, sementara pembatalan bagi lesen perubatan doktor berkenaan adalah di bawah kuasa Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

“MMC akan membuat inkuiri dalaman dan akan memanggil doktor berkenaan untuk membela diri. Jika terbukti bersalah, mereka akan membuat keputusan sama ada untuk menggantung atau membatalkan lesen terbabit,” katanya. Sementara itu, jurucakap MMC berkata, doktor itu sememangnya berdaftar di bawah majlis berkenaan. Dalam operasi polis kelmarin, polis turut merampas sijil lahir bayi perempuan itu dan wang tunai RM21,000 dipercayai dibayar suami isteri berkenaan.

Siasatan awal polis mendapati pasangan itu, membeli bayi perempuan berkenaan selepas berurusan sejak sebulan lalu. Hospital itu dipercayai memalsukan maklumat ibu bapa kandung bayi itu bagi membolehkan pasangan suami isteri terbabit mendapatkan sijil kelahiran yang mereka perolehi pada hari yang sama dengan dibantu kakitangan hospital itu.

Difahamkan, harga bayi dijual sindiket itu boleh mencecah lebih RM30,000 mengikut bangsa dan jantina. Harga bayi lelaki dikatakan lebih mahal yang biasanya dijual antara RM15,000 ke RM20,000. Bayi berbangsa Cina pula paling mahal dan dijual mengikut berat, iaitu RM10,000 sekilogram berikutan permintaannya tinggi dan sukar diperoleh. -bharian

1 comment:

PutraRocker said...

apa nama hospital tu cha o_O