ad ld

Pages

Wednesday, November 24, 2010

(Gambar) 3 Maut Honda Civic Melambung Atas Van Vannette Di Lebuhraya Persekutuan Dkt Jln Syed Putra

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki, termasuk seorang kontraktor pengedaran akhbar kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) maut dalam kemalangan membabitkan sebuah van dan dua kereta di Lebuhraya Persekutuan, berhampiran Jalan Syed Putra di sini, awal pagi semalam.


Dalam kejadian itu jam 4 pagi itu, kereta Honda Civic dipandu tukang masak, Lee Fong Hoon, 36, dan rakannya, Oo Der Hing, 25, dikatakan hilang kawalan selepas melanggar tiang lampu dan memasuki laluan bertentangan sebelum melambung ke atas van Nissan Vanette dipandu kontraktor, Raja Nazree Raja Sulong, 34.



Ketua Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor, berkata ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Siasatan mendapati van dipandu Raja Nazree yang dalam perjalanan ke Kelana Jaya untuk mengambil surat akhbar berpusing dan melawan arus apabila Honda Civic mendarat di atas bumbungnya, sebelum dilanggar sebuah kereta Proton Saga dari arah sama.

Pemandu kereta Proton Saga dikenali sebagai Siti Aishah Ahmad, 23, hanya mengalami kecederaan ringan, katanya.

Jenazah Syed Nazree dituntut isterinya dikenali sebagai Kamalia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 1.30 tengah hari semalam, selepas dimaklumkan jirannya mengenai kemalangan menimpa suaminya selepas menonton siaran berita televisyen. Jirannya, Nur Farahin Jalaludin, 21, berkata ketika itu isteri mangsa dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya (IPDPJ) untuk membuat laporan kehilangan suaminya selepas gagal menghubunginya sejak jam 4 pagi.

Nur Farahin berkata, Kamalia terkejut apabila dimaklumkan berhubung kemalangan membabitkan suaminya dan bergegas ke HKL. Kamalia berkahwin dengan mangsa lima tahun lalu dan mereka dikurniakan dua anak lelaki. - bharian

No comments: