Kelantan memastikan slot final Piala Malaysia menjadi milik mereka 
selepas mencatat kemenangan agregat 4-3 ke atas Angkatan Tentera 
Malaysia (ATM) pada perlawanan timbal-balik di Stadium Sultan Muhammad 
ke-IV di Kota Bharu malam ini. Keputusan seri 2-2 yang dicatatkan oleh Kelantan sudah memadai untuk 
mereka beraksi di pentas akhir pada 3 Nov ini di Stadium Shah Alam.
Pasukan pantai timur itu yang terkenal dengan jolokan 'The Red 
Warriors' sebelum ini mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas ATM pada 
separuh akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Jumaat 
lepas. Pada perlawanan hari ini, penyerang import ATM, Marlon Alex James 
membuka tirai jaringan pada minit ke-18 apabila beliau memanfaatkan 
situasi kelam-kabut di hadapan pintu gol pasukan Kelantan.
 Kelantan terus ketinggalan apabila Marlon menggandakan jaringan untuk 
pasukan 'The Gladiators' pada minit ke-35 selepas beliau menyudahkan 
hantaran yang dilakukan oleh Mohd Affize Faisal Mamat.
Bersambung babak kedua perlawanan, Kelantan mengatur semula jentera 
serangan dan berjaya merapatkan jurang pada minit ke-82 apabila Ahmad 
Fakri Saarani melepaskan rembatan kencang, sekaligus menewaskan penjaga 
gol ATM, Mohd Farizal Harun. Kapten pasukan Kelantan, Mohd Badhri Mohd Radzi menjadi wira pasukan 
kendalian Bojan Hodak selepas menyempurnakan hantaran lintang daripada 
pemain gantian, Zairol Fitree Ishak pada minit ke-85 dan keputusan 
tersebut kekal sehingga tamat perlawanan.
Turut hadir menyaksikan perlawanan tersebut ialah Menteri Besar 
Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan 
(Kafa), Tan Sri Annuar Musa dan Panglima ATM, Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd
 Zin. Pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara Pahang dan Sarawak di 
Stadium Negeri, Kuching, esok akan bertemu Kelantan di pentas final. Untuk rekod, Pahang mencatatkan kemenangan selesa 3-1 ke atas Sarawak 
pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Sabtu 
lepas. sinarharian
-- Bonus Kakitangan Awam Setengah Bulan Gaji Minimum RM500 Bajet 2014
-- Tiket Bola Kelantan vs ATM This Is Kota Bharu (Gambar)
-- Rozita Che Wan Bercuti Di London (Gambar) 
 

No comments:
Post a Comment