Penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahaya menyelamatkan reputasi dan rekod baik skuad Harimau Malaya daripada tewas apabila jaringannya membantu mengikat Hong Kong 1-1 dalam perlawanan persahabatan di negara itu, semalam.
Penyerang 26 tahun dan menduduki tangga kedua carta senarai penjaring terbanyak Liga Super di belakang Norshahrul Idlan Talaha itu, menunjukkan bisanya apabila menyamakan kedudukan selepas enam minit masuk menggantikan Safee Sali pada minit ke-66.
Begitupun, anak buah K Rajagobal tersentak apabila lawan yang tewas 0-2 dalam perlawanan persahabatan di Shah Alam Februari lalu, merobek gawang lawan yang dikawal Mohd Sharbinee Allawee pada minit ke-60 menerusi Chan Siu Ki.
Rajagobal yang menjadikan perlawanan itu sebagai medan menilai pemain untuk menghadapi kelayakan Piala Dunia, membuat lima lagi pertukaran dengan S Chanthuru digantikan Mohd Amirulhadi Zainal (m-60), Mohd Sharbinee (Syed Adney Syed Hussein/66), Mohd Azmi Muslim (Mohd Asraruddin Putra/68), Mohd Nasriq Baharom (Mohd Hisyamudin Shaari/80) dan Mohd Shahrom Abdul Kalam (Helmi Remeli/80).
Hong Kong yang dibimbing Tsang Wai Chung pula membuat lima pertukaran dalam perlawanan yang hanya disaksikan 586 penonton itu.
Pada perlawanan di Shah Alam, jaringan Safiq Rahim pada minit ke-44 dan Amirulhadi (m-90) serta aksi tangkas Khairul Fahmi Che Mat yang tidak menyertai pasukan kali ini kerana dilepaskan untuk persiapan skuad Olimpik, membantu kemenangan Harimau Malaya yang masih segar menjuarai Piala AFF Suzuki, sebelum itu. bharian
No comments:
Post a Comment