ad ld

Pages

Sunday, June 5, 2011

Kickdefella akui terima RM350,000 Drp Datuk Husam Musa

2 Jun: Penulis blog, Syed Azidi Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Kickdefella hari ini mengaku menerima wang sebanyak RM350,000 daripada Exco Kerajaan Pas Kelantan, Datuk Husam Musa. Bagaimanapun jelasnya, wang berkenaan yang diberikan secara tunai dan berperingkat pada 2009 melalui 'orang tengah' bukannya dibayar untuk berkempen bagi pihak Husam merebut jawatan Naib Presiden pada pemilihan Pas kali ini.
Sebaliknya beliau berkata, sebanyak RM50,000 adalah berkaitan pembayaran kos tertunggak selepas kontraknya di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) ditamatkan pada 10 November 2009 manakala RM300,000 pula dipercayai sebagai wang pampasan. "Sejak semalam, terdapat berita-berita yang tidak tepat telah disiarkan oleh beberapa laman blog serta mencabar saya untuk tampil dan memberi pengakuan. Saya cuba untuk bertahan dan tidak memberi sebarang kenyataan kerana saya tidak mahu terbabit dalam sebarang permainan politik.

"Dakwaan bahawa saya telah bertemu dan menerima wang itu di China daripada beliau (Husam) baru-baru ini adalah tidak tepat. Sejak 9 November 2009, beliau dan saya tidak pernah bertemu melainkan berbual di telefon dan bertukar-tukar pesanan ringkas (khidmat pesanan ringkas (SMS). "Pada 10 November 2009, kontrak saya di PMBK telah ditamatkan dan sejak itu, saya tidak lagi berkhidmat secara rasmi dengan beliau,'' katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Antara blog yang mendedahkan bayaran yang diterima Kickdefella daripada Husam itu adalah Selangor Bangkit di http://medan-info-kita. blogspot.com dan Lydia USM di http://lydiausm72.blogspot.com dan Papa Gomo di http://www.papagomo.com. Mengulas lanjut, Syed Azidi berkata, pada 18 November 2009, beliau telah bertemu dengan seorang individu yang mewakili Husam dan dalam pertemuan itu, persoalan mengenai pampasan untuknya telah dibincangkan.

"Saya memohon Datuk (Husam) menjelaskan beberapa kos tertunggak yang berjumlah RM50,000. Sekitar tengah hari (tarikh yang sama), saya dimaklumkan oleh individu itu bahawa Datuk bersetuju menyelesaikan kos tertunggak itu. Saya juga ditanya sekiranya saya bersetuju dengan pampasan berjumlah RM300,000. "Dengan rasa bersyukur saya bersetuju. Pada 15 Disember 2009, saya berlepas ke Singapura dan terus ke China atas urusan penggambaran. Saya pulang ke Singapura pada 22 Disember 2009. Itu adalah kunjungan terakhir saya ke China hingga ke hari ini.

"Saya yakin maklumat inilah yang telah digunakan oleh pihak-pihak tertentu dan diolah menjadi satu cerita hebat untuk disalurkan kepada sahabat-sahabat siber, kononnya saya bertemu Datuk di China dan transaksi dibuat di sana, kononnya pada minggu lepas,'' katanya.

Syed Azidi memberitahu, mereka yang menyalurkan maklumat itu adalah tidak bertanggungjawab dan dari sumber yang diterimanya, ia datang daripada seorang individu yang berkait rapat dengan seorang calon yang bertanding bersama Husam bagi merebut jawatan Naib Presiden Pas. "Saya tidak berhasrat mengambil sebarang tindakan terhadap sahabat-sahabat siber saya. Saya juga tidak akan memohon mereka meminta maaf kepada saya. Sebagai seorang blogger, saya sentiasa sedar cabaran yang kita hadapi,'' tegasnya.

Ditanya mengenai pembayaran wang berkenaan yang dibuat secara berperingkat, katanya, kali pertama beliau menerima sebahagian wang berkenaan beberapa hari selepas tarikh 18 November 2009 dan terakhir diterima sebaik Ketua Pegawai Operasi PMBK, Ariff Fahmi Abdul Rahman meletakkan jawatannya.

Mengenai persoalan tentang alasan pemberian wang RM300,000 pula beliau menjelaskan: "Mungkin pampasan perkhidmatan tiga tahun saya bersama beliau dan juga untuk bantu saya teruskan hidup sebelum dapat kerja lain.'' Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada wang RM350,000 itu merupakan pemberian peribadi daripada Husam serta menolak untuk mendedahkan individu yang menjadi 'orang tengah' dalam urusan wang berkenaan antaranya dengan Husam.

Kepada soalan tentang hubungannya dengan Husam, Syed Azidi menjelaskan bahawa persahabatan beliau dengan Husam adalah 'persahabatan dunia dan akhirat'. "Datuk adalah individu istimewa. Kalau (sama ada) saya dibayar, kalau tak dibayar pun jika diminta, saya akan berkempen untuk Datuk. "Saya hormati beliau, individu yang saya kenal secara peribadi, saya kenal keluarga beliau, anak-anak beliau dan tahu beliau dari keturunan yang baik-baik,'' tambahnya. utusan

No comments: