Mahkamah Rayuan pada Khamis mengekalkan hukuman penjara 12 bulan
terhadap bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo atas tuduhan
mendapatkan untuk dirinya dan isteri suatu barangan berharga iaitu dua
lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7, Shah Alam di sini empat tahun
lepas. Mahkamah juga mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23
Disember 2011 lepas yang memerintahkan agar tertuduh dilucutkan hak ke
atas hartanah yang dimiliki itu dan diserahkan kepada kerajaan.
Tiga panel hakim yang diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin
bagaimanapun membenarkan peguam perayu Datuk Seri Mohamad Shafee
Abdullah agar menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menantikan
keputusan rayuan Mahkamah Persekutuan. Hakim Datuk Azahar Mohamed yang membacakan penghakimannya selama
hampir dua jam berkata panel tiga hakim yang turut dianggotai Datuk
Aziah Ali telah sebulat suara berpendapat bahawa tiada sebab untuk
mahkamah rayuan mengganggu dapatan fakta serta penyabitan yang dibuat
oleh hakim mahkamah tinggi pada 23 Disember, 2011.
Beliau berkata setelah meneliti semua rekod rayuan, serta hujah
daripada kedua-dua pihak, panel bersetuju bahawa hakim perbicaran telah
membuat keputusan yang tepat dan tidak terkhilaf dalam menyabitkan Dr
Mohamad Khir dengan pertuduhan itu. Azahar menjelaskan panel telah meneliti secara mendalam enam alasan
utama yang diutarakan terutamanya oleh pihak perayu (Dr Mohamad Khir)
mengapa rayuan tersebut seharusnya dibenarkan.
Pertama, isu sama ada perayu merupakan seorang penjawat awam
sepertimana diperuntukkan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, kedua
sama ada bayaran RM3.5 juta untuk hartanah tersebut mencukupi atau
tidak, ketiga sama ada perayu mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan
penjual hartanah terbabit Shamsuddin Hayroni (SP2), keempat sama ada SP2
merupakan rakan sepenjenayah, kelima kredibiliti SP2 dan keenam sama
ada pihak pendakwaan berjaya menimbulkan sebarang keraguan munasabah di
akhir kes pembelaan.
Untuk isu pertama, Dr Mohamad Khir selaku ahli lembaga serta
pengerusi PKNS telah menjalankan banyak menunaikan tanggungjawab
ekskutifnya dan beliau termasuk dalam tafsiran sebagai penjawat awam.
Bagi isu kedua, beliau berkata perayu memang telah menunjukkan minat
terhadap hartanah tersebut sejak 2004 dan akhirnya Shamsuddin bersetuju
untuk menjualnya pada harga RM3.5 juta untuk menjaga kepentingan
perniagaannya di mana beliau membuat banyak berurusan terutamanya dengan
PKNS.
"Transaksi tersebut dibuat bukan di atas dasar 'willing buyer and
willing seller' di mana SP2 telah membeli haratanah tersebut pada harga
RM7 juta," jelas Azahar.
Dr Mohamad Khir, 48, dituduh mendapatkan untuk dirinya dan isterinya,
Zahrah Kechik, 46, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan
sebuah rumah di No 8&10, Jalan Suasa 7/1L di sini daripada Ditamas
Sdn Bhd (Ditamas) melalui pengarahnya, Shamsuddin. Beliau yang juga bekas Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Sungai
Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar
Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.
Azahar berkata hujah peguam perayu bahawa penilaian hartanah yang
dibuat juruperunding dari Rahim & Co sebanyak RM3.5 juta yang dibuat
berdasarkan nilai pasaran, tidak boleh mengikat mahkamah dan ia perlu
ditaksirkan berdasarkan kepada penilaian keseluruhan fakta transaksi
hartanah tersebut.
Mengenai isu bahawa SP2 (Shamsuddin) adalah rakan sejenayah, Azahar
menjelaskan bahawa hakim perbicaraan telah mendapati SP2 merupakan
seorang saksi yang berkredibiliti serta bukan mengambil bahagian dalam
jenayah itu secara sukarela.
Azahar berkata SP2 pada asalnya (pada 2004) ketika Dr Mohamad Khir
menunjukkan minat terhadap hartanah terbabit, telah menawarkan harga
RM6.5 juta dan terpaksa bersetuju kepada harga yang lebih rendah
kemudiannya kerana untuk menjaga kepentingan perniagaannya sebagai
kontraktor.
-- Uqasha Senrose Dan Pekin Bercuti Di Phuket (Gambar)
-- Azlan Man Menteri Besar Perlis Baru Adun Pauh (Gambar)
-- (Gambar) Majlis Perkahwinan Tan Sri Taib Dan Ragad Waleed Meriah
No comments:
Post a Comment