KUANTAN: Sehingga kini 15 orang disahkan dijangkiti dengan bakteria Melioidosis dan Leptospirosis yang dikesan di Pusat Rekreasi Lubuk Yu, Maran, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Pahang, Datuk Hoh Khai Mun, berkata daripada jumlah itu enam orang meninggal dunia, dua sudah dibenarkan keluar wad, satu kes dipantau di rumah, manakala enam lagi masih dirawat di wad. "Kes yang masih dirawat di wad adalah satu kes di Hospital Jengka, Hospital Selayang (1 kes), Kuantan Medical Centre (1), Hospital Temerloh (2) dan Hospital Bentong (1)," katanya dalam satu persidangan akhbar di sini, hari ini.
Katanya semua yang dirawat kini berada dalam keadaan stabil. Beliau berkata, daripada 15 kes itu, lima disahkan sebagai kes melioidosis, tiga kes disahkan melioidosis dan leptospirosis, manakala selebihnya masih dalam siasatan.
Enam penduduk kampung yang meninggal dunia itu merupakan antara mereka yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat seorang mangsa lemas di Hutan Lipur Lubuk Yu, Maran, Pahang antara 26 dan 30 Jun lalu, yang dilaporkan maut akibat jangkitan bakteria leptospirosis (air kencing tikus) dan melioidosis (bakteria disebabkan air dan tanah) kira-kira seminggu selepas operasi, secara berperingkat.
Hoh berkata selain 15 kes itu, ada enam kes lagi yang dikategorikan sebagai "Patient Under Investigation" (PUI) iaitu kumpulan mereka yang tidak dikategori sebagai terdedah mengikut kes definisi, tetapi pernah berada di Lubuk Yu. Katanya kes-kes PUI itu melibatkan empat pesakit yang kini dirawat di Hospital Jengka, dua di Hospital Gleneagles manakala seorang lagi sudah dibenarkan keluar wad.
Sementara itu, beliau berkata keadaan kesihatan 105 orang yang turut terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat berkenaan kini dipantau oleh Jabatan Kesihatan Pahang sepanjang masa. Hoh berkata mereka akan segera dimasukkan ke hospital jika dikesan mempunyai tanda-tanda jangkitan seperti demam, muntah, sakit sendi, sakit otot, sesak nafas dan cirit-birit.
Beliau seterusnya meminta penduduk yang tinggal berhampiran dengan pusat rekreasi itu agar mendapatkan rawatan segera di klinik jika mempunyai tanda-tanda jangkitan, dan katanya sebagai langkah berjaga-jaga, pusat rekreasi itu sudah ditutup untuk pemeriksaan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment