Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh pada Jumaat  mempertahankan penwartaan fatwa berkenaan dengan  modul kursus motivasi  anjuran ESQ Leadership Centre Sdn Bhd yang menurut beliau mengandungi 10  perkara yang boleh merosakkan akidah.
Dalam kenyataan tujuh muka surat untuk menjelaskan respons orang  ramai berhubung penwartaan fatwa yang dikeluarkan pihaknya pada 17 Jun  lepas, beliau berkata, ia perlu dilihat dalam dua konteks iaitu, hukum  syarak dan Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah  Persekutuan) 1993 atau Akta 505.
Katanya, pengeluaran fatwa itu dibuat melalui proses ijtihad Mufti  dan hukumnya wajib bagi seseorang Mufti berpegang dengan pendapatnya  seperti yang disepakati kalangan ulama.
Fatwa itu, katanya, dikeluarkan mengikut kuasa Mufti yang  diperuntukkan dalam Perkara 33 Akta 505, dan tiada peruntukan dalam akta  itu bahawa Mufti perlu menunggu keputusan daripada mana-mana pihak. Menyentuh tentang penyelarasan fatwa tersebut dengan keputusan  Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, Wan Zahidi berkata  banyak keputusan yang dibuat jawatankuasa berkenaan tidak diselaraskan  di peringkat negeri walaupun keputusan dibuat secara konsensus.
Beliau juga berkata fatwa itu adalah berdasarkan fakta-fakta daripada  empathasil kajian termasuk oleh Cawangan Akidah, Bahagian Penyelidikan  Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) yang dimulakan pada ogos  2008 dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Katanya, huraian lanjut berhubung dengan 10 perkara yang boleh  merosakkan akidah dalam modul kursus motivasi ESQ akan dibuat melalui  laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment