Kedah gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan peneraju Liga Super, Kelantan di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi. Keputusan itu ternyata melegakan Kelantan yang masih mengekalkan rekod tanpa kalah setelah mengharungi lima perlawanan.
Sebaliknya, Kedah yang terus buntu menambah koleksi kemenangan di gelanggang keramat mereka harus mencari ramuan mujarab untuk mencari kejayaan selepas ini. Permainan menarik ditunjukkan kedua-dua pasukan dengan Kedah mahu meraih tiga mata penuh manakala Kelantan pula ingin mengekalkan reputasi sebagai peneraju liga.
Bagaimanapun, Kedah terlebih dahulu menghasilkan gol menerusi Azlan Ismail pada minit ke-57 sebelum dibalas Kelantan menerusi Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-79. Sebelum itu, pasukan pelawat mencemaskan penyokong tuan rumah apabila sepakan S. Chanturu dari luar kotak penalti terkena palang ketika penjaga gol Kedah, Abdul Hadi Hamid sudah tertewas.
Kelantan yang menguasai babak pertama terus memberi tekanan kepada skuad Kenari dan hampir memperoleh gol pembukaan, namun sepakan Chanturu sekadar melintasi gawang tuan rumah pada minit ke-35. Kedah yang mahu mencari gol awal terus menggandakan usaha, namun sepakan Baddrol Bakhtiar ke sebe- lah kiri gawang pelawat pada minit ke-37 dihampakan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat.
Memasuki babak kedua, Kedah hampir menceriakan kira-kira 8,000 penyokong mereka apabila Azlan berjaya meloloskan diri daripada tiga pertahanan lawan, namun sepakan lemahnya sekadar singgah ke dakapan Khairul Fahmi pada minit ke-53. Usaha pemain tuan rumah yang terus menggandakan asakan akhirnya membuahkan hasil menerusi jaringan Azlan yang menerima hantaran dari- pada Baddrol.
Barisan benteng Kelantan terperangkap dengan kelicikan Azlan yang berjaya meloloskan diri di antara empat pertahanan lawan sebelum bola sepakannya menerjah gawang. Keceriaan penyokong tuan rumah tidak berpanjangan apabila Norshahrul menyumbat masuk gol penyamaan pada minit ke 79. kosmo
No comments:
Post a Comment