ad ld

Pages

Monday, October 18, 2010

(Gambar) Dinding Rumah Runtuh Dilanggar Viva Dipandu Budak 15tahun Di Jln Jelutong

GEORGETOWN: “Saya nampak kereta itu tiba-tiba melayang dari arah jalan bertentangan sebelum merempuh tiang pembahagi antara rumah saya dan jiran,” kata pemandu lori, Khoo Beng Aik, 58, yang terkejut selepas rumahnya dilanggar sebuah kereta di Jalan Jelutong, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang semalam, sebuah kereta jenis Perodua Viva dipandu seorang remaja berusia 15 tahun merempuh tiang rumah milik Khoo dan jirannya menyebabkan sebahagian dinding rumah mereka runtuh dan menghempap kereta dinaiki remaja berkenaan.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana remaja berkenaan sempat keluar dari kereta sebelum dinding rumah runtuh dan keluarga Khoo serta jirannya juga terselamat dalam kejadian itu. Khoo berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri dan dua anaknya sedang menonton televisyen sebelum terkejut apabila kereta terbabit tiba-tiba merempuh dinding rumahnya menyebabkan gegaran kuat. Menurutnya, tidak lama kemudian, dinding tingkat atas rumah runtuh dan menghempap kereta berkenaan serta motosikal Khoo diletakkan di depan rumah berkenaan.

Kami bernasib baik kerana hanya dinding di bahagian depan runtuh dan pemandu kereta berkenaan yang masih di bawah umur juga terselamat, namun kami masih lagi trauma dengan kejadian ini,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam. Menurutnya, remaja terbabit yang berpakaian seperti pelajar sekolah agama juga dalam keadaan terkejut sebaik keluar dari kereta. Dia dipercayai gagal mengawal kenderaan itu akibat keadaan jalan licin selepas hujan. Katanya, kereta berkenaan dipercayai dari Jelutong menghala ke pusat bandar raya dan selepas hilang kawalan, kereta berkenaan terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar dinding rumahnya.

Sementara itu, jiran Khoo, seorang warga emas, Annie Lim, 72, berkata dia menyangka berlaku gempa bumi kerana gegarannya begitu kuat selepas kereta terbabit melanggar tiang rumah jiran sebelum keluar untuk meninjau. Menurutnya, dia melihat pemandu muda itu menunggu di tepi jalan berkenaan sebelum menghilangkan diri.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Mohd Nor Md Sirat, berkata pihaknya menerima panggilan jam 3.09 petang dan tiba di tempat kejadian empat minit kemudian. - hmetro

No comments: