ad ld

Pages

Tuesday, October 26, 2010

Amy Search & Ella Minta Maaf, Gagal Nyanyi Lagu P.Ramlee Di Auditorium DBKL

KUALA LUMPUR: Penyanyi rock tersohor, Amy Search meminta maaf kepada penonton ekoran gagal menyanyikan lagu ‘Azizah’ dengan baik semasa rakaman Konsert Penghargaan P.Ramlee di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini, Ahad.

Setelah dua kali terpaksa mengulang semula nyanyian lagu popular Allahyarham Tan Sri P.Ramlee itu, akhirnya Amy bersuara memohon maaf dan mengaku perkara tersebut berlaku disebabkan dia baru membuat latihan pada pagi hari konsert itu.

“Saya minta maaf kepada semua kerana tak dapat menyanyi dengan baik. Semalam saya sibuk dengan konsert di Esplanade, Singapura dan baru membuat latihan pada pagi tadi,” katanya di atas pentas.

Sambil diiringi band orkestra DBKL yang dipimpin oleh pengarah muzik Mirza Abdullah, selain lagu ‘Azizah’, Amy turut menyanyikan lagu ‘Jangan Tinggal Daku’.

Bagaimanapun, sebelum itu, seorang lagi penyanyi rock, Ella turut melakukan kesilapan sehingga terpaksa mengulang nyanyian sebanyak tiga kali ketika menyampaikan lagu ‘Bunga Melur’. Dia juga memohon maaf atas perkara yang berlaku kerana dia bukan sahaja menyusahkan banyak pihak malah turut menyebabkan waktu rakaman menjadi lebih panjang.

Berlainan dengan Amy, difahamkan Ella lebih banyak menghadiri latihan yang diaturkan. Mungkin benar seperti katanya, dia gagal melakukan yang terbaik disebabkan baru pertama kali menyanyikan lagu tersebut.
Selain Amy dan Ella, terdapat 17 artis terkenal yang turut mewarnai konsert sempena kempen ‘Di Mana Kan Kucari Ganti? Seniman Agung P.Ramlee’ itu.

Mereka adalah Misha Omar, Meet Uncle Hussain, Hujan, Haziq, Datuk Sharifah Aini, M. Nasir, Ning Baizura, Yuna, Altimet, Aizat, Vince, Jaclyn Victor, Najua Nadia Nasir (cucu P.Ramlee), Salih Yaacob, Rosnah Mat Aris, Nora Danish dan Rozita Che Wan.

Antara lagu-lagu yang turut dipersembahkan termasuklah Getaran Jiwa, Tunggu Sekejap, Malam Bulan Di Pagar Bintang, Jeritan Batinku, Engkau Laksana Bulan, Maafkan Kami, dan Ali Baba.

Selain itu lagu-lagu lain seperti Dengar Ini Cerita, Bila Mama Pakai Celana, Yang Mana Satu, Pabila Larut Malam, Semerah Padi, Tari Tualang Tiga dan Di Mana Kan Kucari Ganti.
Konsert yang dibawakan oleh Astro dan DBKL itu akan disiarkan secara serentak di Astro Ria (saluran 104), HISTORY HD (saluran 575) dan PRAMLEE HD (saluran 188) pada 29 Oktober ini, pukul 9.30 malam.

Bagi yang ketinggalan, boleh menonton lagi ulangan konsert itu pada 30 Oktober ini, pukul 7 malam di HISTORY (saluran 555). Selain itu, paparan dokumentari tentang P.Ramlee yang diarahkan oleh Shuhaimi Baba (Pesona Pictures), akan ditayangkan pada 31 Oktober, pukul 9 malam di saluran yang sama.

Sementara siaran ulangannya pada 1 November, pukul 10 malam, 6 November, pukul 7 malam dan 15 November, pukul 10 malam. - mstar

No comments: