ad ld

Pages

Friday, October 29, 2010

Penentuan Juara Gadis Melayu TV9

Penerbit Eksekutif Gadis Melayu, Wan Sabariah Shikh Ali, berkata peningkatan dari segi penampilan, komunikasi dan kemahiran dapat dilihat pada setiap individu biarpun ada dikalangan mereka masih di bangku sekolah disebabkan persaingan untuk membuktikan ketokohan.

“Berbanding musim sebelum ini, kita mempunyai peserta muda seawal 18 tahun manakala calon lain sudah bekerja dan masih di peringkat universiti, tetapi perkara ini tidak menjadi isu sebaliknya merangsang setiap individu bekerja lebih keras daripada segi mental serta fizikal.

“Dalam tempoh singkat mereka cepat ‘menangkap’ segala yang didedahkan, malah boleh dianggap program realiti ini sebagai proses pembelajaran untuk mereka mengenali persekitaran, masyarakat serta dunia penyiaran dengan lebih mendalam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengumumkan hadiah kemenangan untuk Gadis Melayu musim ketiga. Juara kali ini menerima ganjaran berjumlah RM160,000 iaitu wang tunai RM30,000, set mutiara bernilai RM120,000, barangan elektrik bernilai RM10,000 serta trofi. Empat penerima hadiah sagu hati menerima wang tunai RM1,000 seorang, barangan elektrik (bernilai RM7,000 untuk pemarkahan kedua tertinggi dan RM5,000 ketiga tertinggi), manakala empat calon lain bakal meraih wang tunai RM500 selain barangan elektrik bernilai RM700.

Gadis Melayu musim kali ini menyaksikan persaingan antara Afiqah Hazwani Mohd Nordin, 18, Nur Diana Zainuddin, 19, Siti Nurzakiah Abdul Aziz, 21, Nor Shamimi Ernida Mansor, 20; Siti Nur Afiqah Abdullah, 21; Norhidayah Samsudin, 21; Siti Mastura Mohamad Saleh, 24; Fatheen Nabila Ghazali, 24 dan Norazrina Mohd Salleh, 25 tahun.

Malam penentuan ini diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bakal menyaksikan kelainan apabila semua peserta beraksi dalam teater muzikal arahan Norzizi Zulkifli yang menyentuh tiga isu iaitu bencana alam di Pakistan, Gaza serta pembuangan bayi. Setiap peserta akan diuji melontarkan vokal, menari, menyanyi dan berlakon di bawah bimbingan pengarah berpengalaman.

Wan Sabariah berkata, sedari awal mereka didedahkan dengan kerja berkumpulan tetapi pemarkahan masih berdasarkan penyertaan individu malah konsep sama masih diteruskan pada ujian terakhir malam kemuncak nanti yang mewakili 20 peratus pemarkahan.

“Sebanyak 50 peratus pemarkahan diberikan untuk tugasan setiap minggu dan baki 50 peratus akan diadili lima juri profesional pada malam itu namun seperti ditegaskan, Gadis Melayu tidak hanya tertumpu kepada bakat seni, sebaliknya kecergasan dan kecerdasan calon. “Jika 20 peratus direbut menerusi pementasan, kita menampilkan segmen terpenting yang menawarkan 30 peratus markah kepada mereka yang layak untuk dinobatkan sebagai Juara Ikon Gadis Melayu iaitu menerusi sesi Soal Jawab berkaitan pengetahuan am,” katanya.

Sementara itu, bagi Afiqah Hazwani, persediaan dilakukan sejak memulakan cabaran namun untuk malam kemuncak, pembacaan mengenai isu semasa dijadikan ‘senjata’ tambahan, begitu juga dengan pesaing lain seperti Nur Diana dan Siti Nurzakiah yang menganggap semua calon mempunyai peluang sama rata. - bharian

No comments: