PETALING JAYA: Pelakon Raja Farah23, yang dikatakan semakin “comel” ketika muncul dalam Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) Ahad lalu menyalahkan pakaian yang dipakai apabila susuk tubuhnya yang semakin berisi diperkatakan orang. Katanya, pakaian rekaan Ezuwan Ismail yang berwarna merah jambu itu tidak begitu sesuai dengannya sehingga perkara tersebut menjadi perbualan ramai.
“Pakaian yang dibuat untuk saya itu menampakkan saya lebih berisi. Ramai yang jumpa saya secara realiti memberitahu badan saya tidak seperti yang mereka lihat di televisyen,” katanya kepada mStar Online, Khamis.
Bagaimanapun kata wanita berusia 23 tahun ini, dia menyedari badannya semakin naik sejak kebelakangan ini tetapi imejnya di dalam televisyen ketika memakai pakaian tersebut bukanlah dirinya yang sebenar.
“Saya juga sedih dengan perkara ini tetapi saya malas nak fikir tentang pandangan orang tentang saya itu. Saya sedang untuk berada di depan kamera televisyen memerlukan saya lebih kecil daripada apa yang penonton lihat,” ujarnya.
Tidak menyalahkan pereka fesyen berkenaan, katanya, pakaian tersebut mungkin dibuat secara tergesa-gesa. Tambah Raja Farah lagi, perkembangan itu turut membuatkan pihak produksi Kau Dan Aku turut menasihatkannya agar menurunkan berat badan. Sehubungan itu kata Raja Farah dia sedang berusaha ke arah itu sebelum melangsungkan perkahwinannya pada 12 November depan dengan Megat Andika,25.
"Jika diikutkan badan saya dulu lebih berisi dari sekarang. Tapi saya tidak pernah timbang berapa beratnya. Saya mengukur keadaan badan saya dari pakaian yang saya pakai,” katanya.
Dalam pada itu, Farah memberitahu dia kini terlalu sibuk dengan persiapan perkahwinannya. Selepas selesai drama Kau dan Aku Raja Farah akan berehat sebentar dan tumpukan pada persiapan untuk hari bahagia itu.
Sementara itu, Ezuwan Ismail ketika dihubungi memberitahu mengambil masa sehari untuk menyiapkan pakaiahn itu. Katanya, tempoh masa yang diberikan itu menjadikan pakaian berkenaan agak kurang sesuai digayakan oleh Raja Farah. "Saya tidak salahkan dia jika dia menyalahkan baju tersebut. Kami hanya berkesempatan untuk berjumpa dan saya mengambil ukurannya semasa malam latihan FFM23 iaitu sehari sebelum berlangsungnya majlis tersebut. "Sebagai pereka fesyen saya juga mahu dia nampak cantik ketika mengayakan baju itu, tapi malangnya kami tidak ada masa untuk mencuba dan baikinya," katanya.
Ezuwan bagaimanapun menganggap perkara tersebut sebagai salah satu pengajaran baginya agar lebih berhati-hati selepas ini. - mstar
No comments:
Post a Comment